‘Mahfuz ibarat orang dah mati lama baru tanam’, kata Hadi Awang
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 16 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Keputusan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar keluar daripada PAS kuat kuasa 1 Januari lalu, tidak mengejutkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Malah Abdul Hadi berkata, Mahfuz telah lama meninggalkan PAS meskipun baru beberapa hari mengumumkan meninggalkan parti itu.
“Dia (Mahfuz) dah lama keluar. Dia ibarat orang mati lama dah, baru tanam,” katanya dalam sebuah video yang dikongsi di Facebooknya, hari ini.
Ahad lalu, Mahfuz dalam satu sidang media di Alor Setar mengumumkan keputusan meninggalkan parti yang dianggotainya sejak 1984.
Keputusan itu tidak mengejutkan ramai pihak yang rata-rata sudah menjangka, memandangkan penglibatannya sering dilihat dalam mana-mana program anjuran gabungan Pakatan Harapan, termasuk seteru PAS, parti rasis dan cauvinis DAP serta Parti Amanah Negara (PAN).
Penglibatan Mahfuz dalam kebanyakan sidang media dan program Pakatan Harapan mengundang tidak senang pimpinan PAS kerana dilihat cenderung menyokong gabungan itu.
Sehingga kini, beliau masih belum memutuskan untuk menyertai mana-mana politik lain sebalik hanya berkhidmat sebagai wakil rakyat Bebas sehingga pengumuman dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
The post ‘Mahfuz ibarat orang dah mati lama baru tanam’, kata Hadi Awang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan