‘Mahu satu minit saja jumpa Anwar, tak lebih’: Tun M

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 23 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan kedatangannya untuk melawat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, petang semalam bukan mahu bercakap hal-hal politik.

Sebaliknya, Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kedatangan beliau hanya untuk mengucapkan terima kasih kepada Anwar, kerana bersetuju dengan cadangan gabungan pembangkang menamakan beliau sebagai calon perdana menteri, sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Menerusi entri terbaharu di Chedet.cc hari ini, Dr Mahathir akui kecewa kerana disekat berjumpa dengan Anwar, meskipun untuk tempoh pertemuan singkat.

“Saya perlu hanya satu minit sahaja untuk berjumpa, tidak lebih. Tidak ada niat bercakap berkenaan politik.

“Saya kecewa dan sedih. Apakah yang sudah jadi pada negara kita ini. Tidak pernah mana-mana Perdana Menteri Malaysia sebelum ini melarang sebarang lawatan untuk berjumpa pesakit atau banduan, samada ia ahli politik atau orang biasa.

“Saya, semasa menjadi perdana menteri, tidak pernah menghalang mana-mana banduan, termasuk Datuk Sri Anwar, diziarahi oleh sesiapa. Tetapi sekarang sudah ada arahan khusus ini bagi saya,” katanya.

Dr Mahathir berkata, beliau dimaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri telah mengarah Jabatan Penjara supaya tidak membenarkannya melawat Anwar, yang kini sedang menjalani rawatan pemulihan selepas pembedahan bahu kanan pada November lepas.

Bagaimanapun, dakwaan itu dinafikan Jabatan Penjara Malaysia hari ini, yang memaklumkan sekatan itu berikutan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan rasmi untuk melawat daripada Dr Mahathir.

Malah Jabatan Penjara juga mendakwa bahawa keputusan tidak membenarkan Dr Mahathir membuat lawatan tersebut bukan atas arahan daripada Menteri Dalam Negeri.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kebanyakan orang tahu pencalonan beliau sebagai perdana menteri akan menentukan kekalahan kepada Pakatan Harapan.

Katanya, jika segala yang dinyatakan itu benar, maka tiada apa yang perlu ditakutkan sekiranya beliau bertemu dengan Anwar.

“Bukankah Institute of Strategic and International Studies Senior Fellow Sholto Byrnes telah berkata pencalonan saya bermakna Pakatan telah ambil satu langkah kebelakang.

“Apalah nak takut sangat perjumpaan saya dengan Anwar. Tentulah ia akan jadi satu lagi langkah kebelakang oleh Pakatan Harapan,” katanya.

The post ‘Mahu satu minit saja jumpa Anwar, tak lebih’: Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian