Najib tahu perjanjian jual tanah Felda lebih awal?
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 23 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Konflik yang berlaku dalam skandal tanah Felda di Jalan Semarak semakin rumit, apabila pendedahan terbaru mengatakan ahli lembaga pengarah sememangnya sudah mengetahui sejak awal lagi urusan penjualan tanah kepada syarikat pemaju Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).
Namun, ketika awal pendedahan skandal ini pada Disember lalu, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memberikan bayangan bahawa seluruh lembaga pengarah telah ditipu sehingga tanah Felda bernilai RM250 juta kehilangan kepada tangan SPSB.
Bagaimanapun semalam, portal The Mole mendakwa, perjanjian itu sebenarnya mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Felda Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), bagi membangunkan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Ekoran timbul dakwaan berbeza, PAS menuntut Tan Sri Shahrir tampil untuk mendedahkan perjanjian antara FIC dan SPSB untuk tatapan umum.
Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, skandal ini berlaku ketika Tan Sri Isa Samad menjadi Pengerusi Felda.
“Adalah mustahil Isa berani melakukan transaksi ini tanpa pengetahuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Jadi PAS turut menuntut agar Perdana Menteri tampil memberitahu rakyat apakah beliau tahu mengenai perjanjian ini jauh lebih awal?
“Jika ya, maka segala aksi memanggil audit dan siasatan hanyalah wayang agar peneroka Felda dapat ditipu, kononnya tanah Felda itu masih dapat diselamatkan untuk BN melepasi PRU14.
“Sedangkan perjanjian itu satu urus niaga yang sah yang tidak dapat dilakukan apa-apa lagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
The Mole memetik sumber rapat dengan projek berkenaan, melaporkan bahawa Lembaga Pengarah Felda menyedari sepenuhnya dan meluluskan penjualan tanah berkenaan, justeru tiada isu mengatakan bahawa urusan tersebut dijalankan tanpa pengetahuan agensi itu.
Sumber The Mole menyatakan bahawa ahli lembaga pengarah Felda ketika itu: Datuk Dr. Omar Salim, Datuk Seri Dr. Rahamat Bivi Yusoff, Datuk Norzirah Bahari, Datuk Mohd. Suhaili Said, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, Datuk Abu Bakar Harun, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib, Datuk Mohd. Isa Abu Kasim, Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah and Shamsudin Othman – telah diberitahu mengenai penjualan itu pada hari yang sama dan mereka memberikan kelulusan semula pada 3 Jun 2015.
Menurut The Mole, perjanjian antara FIC dan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) memang didraf sebegitu rupa, di mana FIC akan diberi jaminan pulangan minima sebanyak RM500 juta atau 10% daripada kos kasar pembangunan, berdasarkan mana yang lebih tinggi.
The post Najib tahu perjanjian jual tanah Felda lebih awal? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan