Pekerja kedai serbaneka ditahan rancang samun diri sendiri

IPOH, 5 Jamadilawal 1439H, Isnin – Seorang pekerja kedai serbaneka 24 jam yang merancang samun ke atas dirinya sendiri semalam bersama dua rakan lain membawa padah apabila dia akhirnya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi, lelaki berumur 23 tahun itu mendakwa disamun ketika mahu memasukkan wang tunai milik syarikat berjumlah lebih RM3,000 di sebuah bank berhampiran.

“Pekerja berkenaan melaporkan semasa kejadian dia berjalan kaki membawa wang tunai sebanyak RM3,060 untuk dimasukkan ke dalam sebuah bank, namun disamun dua lelaki yang menaiki motosikal.

“Dia mendakwa cuba melawan tetapi tidak berjaya dan penyamun tersebut terus melarikan diri selepas berjaya meragut beg sandang miliknya,” katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, hari ini.

Mohd Ali berkata selepas kejadian, lelaki berkenaan datang ke Balai Polis Sungai Senam membuat laporan untuk rujukan syarikat selain takut jika dokumen pengenalan diri miliknya disalah guna oleh individu tidak bertanggungjawab.

Mohd Ali berkata antara dokumen di dalam beg mangsa yang dilarikan ialah kad pengenalan, lesen memandu selain wang tunai RM200 serta telefon bimbit.

“Hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan telah merancang kejadian samun itu dengan menyuruh dua rakan masing-masing lelaki berumur 24 dan 22 tahun menarik beg sandang miliknya,” katanya.

Ketiga-tiga individu berkenaan ditahan di sekitar Ipoh semalam dan polis akan mendapatkan perintah reman ke atas semua mereka hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan. -Bernama

The post Pekerja kedai serbaneka ditahan rancang samun diri sendiri appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian