Politik desperado yang menjijikkan

SAYA membaca sepenuhnya artikel Presiden PAS dalam Harakah yang menjadi tular dan kontroversi, bertarikh 22 Disember 2017, bertajuk “Mengapa kalau Islam tidak boleh”. Saya tidak nampak di mana salahnya sebagaimana yang diputarbelitkan oleh musuh PAS dan musuh Islam, termasuk parti serpihan PAS. Hina sungguh mereka ini. Matlamat menghalalkan cara.

Lebih malang lagi, musuh-musuh tidak membacapun sumber asal, terus memberikan penghakiman berasaskan berita putar belit ultra kiasu. Inilah politik desperado yang menjijikkan. Tidak kenal lagi dosa pahala. Paling penting, mahu menangguk di air yang keruh, menjelang pilihan raya ini. Rakus, kuasa bagi mereka adalah segalanya. Saya tidak hairan jika musuh Islam di kalangan orang bukan Islam yang melakukan. Malangnya, orang kita sendiri.

Terus terang, saya sudah lali dengan putar belit, mangkuk hayun ultra kiasu ini, termasuk juga kumpulan serpihan PAS, ultra kiasu beragama Islam. Berita benar menjadi salah, berita salah menjadi benar, itu perkara biasa dalam politik mereka. Apa yang penting adalah menang dalam pilihan raya. Begitulah desperado dan jijiknya politik ultra kiasu ini.

Ternyata benar, tiada satu pun patah perkataan yang mengatakan Presiden PAS menolak bukan Islam menjadi Menteri Kabinet. Jika benarpun kenyataan Presiden PAS tersebut, masih ada nilai ilmu yang perlu diperhalusi.

Wajarlah apabila bangsa majoriti mendominasi. Tetapi adakah ianya benar-benar berlaku? Bandingkanlah nasib umat Islam di China dan India. Saya ingin mengajak ultra kiasu ini meneliti beberapa perkara berikut:

Pertama, fahami sejarah, jangan buta. Asal usul negara ini apa? Kenegaraan China? India atau Melayu. Majoritinya siapa? Jika begitulah keadaan, sudah tentulah lebih Melayu (Islam) lebih berhak. Jika bukan Islam mahukan juga, pergilah meminta ke negara asal-usul yang boleh menerima mereka.

Apakah kita mengharapkan Melayu atau Cina Muslim akan memimpin Parti Komunis China di China? Hatta, di Singapura sendiri yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu, apabila ia jatuh kepada tangan ultra kiasu, apakah Melayu mengharapkan suatu hari nanti mereka akan menjadi Perdana Menteri. Jangan mimpi, jauh panggang daripada api.

Sekadar menjadi presiden ‘pak pacak’ tiada kuasa bolehlah. Itupun pelantikan presiden Melayu hari ini dipertikaikan oleh majoriti Cina ultra kiasu. Tidak tahu malu sungguh, hidup dalam kepulauan Melayu, berlagak seperti negara itu sendiri yang punya.

Setiap bangsa ada tanah dan asal-usulnya. Sebab itulah, nama sesuatu bangsa itu akan menjadi nama negara mereka. Inilah hakikat sejarah. Bangsa Cina menerbitkan nama negara China. Bangsa India menerbitkan negara India. Bangsa Jepun menerbitkan nama Jepun. Begitulah bangsa-bangsa di dunia yang lain. Dominasi sesuatu bangsa akan menjadi identiti, lambang dan simbol sesuatu negara. Inilah realiti yang berlaku di serata dunia.

Malangnya ultra kiasu tidak dapat menerima apabila ia berlaku di Malaysia. Walaupun Malaysia telah memberikan lebih daripada yang sepatutnya kepada mereka. Apakah lagi yang bukan Islam tidak dapat di negara ini?

Semua yang Melayu Islam dapat, ultra kiasu dapat. Hatta tanah rezab Melayu pun mereka dapat, hasil penipuan dan Melayu yang menjadi sikitol dan mandaliar. Berapa banyak tanah Melayu termasuk tanah rezab yang telah tergadai kepada bukan Melayu. MRSM pun hari ini telah dibuka kepada bukan Melayu. Pendek kata, apa yang bangsa majoriti dapat, mereka turut dapat termasuk anak-anak ultra kiasu ini.

Sesungguhnya, toleransi atau timbang rasa orang Melayu Islam di negara ini amat tinggi. Hatta, kepada yang tidak layak pun dapat juga. Saya bawa contoh, kedudukan orang Cina dan India di Malaysia. Sepatutnya mereka tidak layak untuk menduduki kerusi menteri, sebab bilangan kerusi yang dimenangi oleh MCA, Gerakan dan MIC dalam pilihan raya amat kecil. Tetapi lihatlah kemurahan hati orang Melayu, berapa banyak jawatan dalam kerajaan yang mereka perolehi.

Pergilah membuat penyelidikan di syarikat bukan Melayu, berapa ramai orang Melayu yang mendapat tempat menduduki jawatan tinggi. Mereka hanya dilantik untuk menjadi kuli sahaja bagi melariskan jualan. Itupun kadangkala hak mereka tidak diberikan, seperti tuntutan solat setiap Jumaat.

Begitu juga lihatlah lambakan rumah ibadat bukan Islam. Lebih daripada 500 ribu buah kuil, tokong dan gereja, kecil besar berbanding rumah ibadat bangsa majoriti, Melayu Islam, dengan bilangan masjid suraunya sekitar 30 ribu. Lebih-lebih lagi di Kelantan, bangsa Cina (Buddha) di Kelantan amat minoriti, tetapi mereka memiliki patung Buddha, berdiri, duduk dan baring antara yang boleh dikatakan terpanjang, terlebar dan tertinggi di Asia, kalau tidak pun di dunia.

Jika dipandang daripada segi hak, mereka sudah pasti tidak ada hak. Bilangan sedikit, tetapi dapat banyak. Malah, hari ini, disebabkan politik desperado, rumah ibadat turut dibiayai kerajaan. Lihatlah kemeriahan rumah ibadat yang muncul hari ini terutama di Selangor? Kemunculan hak mereka mengatasi hak (bilangan) penduduk pribumi. Adakah ini masih mengepikan kuasa dan hak bukan Islam?

Sebenarnya, orang bukan Islam ultra kiasu ini mahu apa? Apa yang tidak cukup lagi? Semua sudah dapat. Takkan jawatan Perdana Menteri dan Raja pun mereka mahu? Berilah kepada yang berhak.

Janganlah dilihat dalam aspek ekonomi. Semua bandar mereka yang punya. Dalam senarai 10, 20, 30 dan 50 terkaya di Malaysia. Boleh dikatakan dalam ranking 10 atau seorang sahaja orang Melayu. Dalam ranking 40, tidak sampai 10 orang, Melayu Islam.

Takkan semua jawatan politik mahu diberikan kepada mereka. Jika kuasa politik penentu dasar pun diserahkan kepada mereka, apa terjadi kepada Melayu Islam di tanah air sendiri? Dalam keadaan sekarang pun pribumi banyak sudah merempat, apa tak lagi jika tidak ada kuasa.

Jadi, tidak perlulah putar belitkan kenyataan Presiden PAS. Terlalu hina sangat. Sesungguhnya, Islam tidak membenarkan sama sekali kita mendiskriminasikan bukan Islam atau menganiaya mereka. Tidak akan masuk syurga orang Islam yang menganiaya orang bukan Islam. PAS amat faham soal ini, sebab itu Presiden PAS berulang kali mengulangi dalam artikel tersebut.

Sebab itulah orang bukan Islam boleh hidup senang lenang dalam sebuah negara Islam, tetapi belum tentu orang Islam boleh hidup bahagia dalam negara bukan Islam. Lihatlah nasib orang Islam di Myanmar, Thailand, Singapura, Filipina dan lain-lain negara.

Berbanding dengan nasib bukan Islam di negara Islam. Janganlah bandingkan dengan Malaysia. Ibarat syurga kepada bukan Islam. Lihat di Indonesia, walaupun orang Cina hanya tiga peratus, mereka menguasai 70 peratus ekonomi Indonesia. Begitu juga di Brunei. Pernahkah pemerintah Brunei mengambil hak orang Cina?

Cuma berpada-padalah bila berada di negara orang, jangan buat macam negara sendiri. Langkah kerajaan Brunei menghadkan aktiviti kaum lain di negara itu adalah adil. Misalnya ketika perayaan Krismas dan Tahun Baharu Cina, simbol-simbol mereka tidak dibenarkan diletakkan atau dipasang di tempat yang menjadi tumpuan khalayak seperti pasar raya. Pertunjukan budaya hanya boleh diadakan di tempat mereka sahaja, pada waktu dan masa yang telah ditetapkan. Jika tidak dibuat sebegini, nanti tenggelamlah identiti penduduk asal Brunei, bandar raya penuh dengan lampu tanglung dan pokok Krismas. Adakah langkah itu tidak adil?

Pada saya, langkah ini agak wajar dan adil. Meletakkan sesuatu pada tempatnya. Namun, isu ini pernah menjadi heboh suatu ketika dahulu. Berbagai-bagai kecaman diterima oleh kerajaan Brunei. Kerajaan Brunei relaks sahaja kerana mereka tahu apa yang mereka buat. Keadilan sudah diberikan sebaiknya.

Peliknya apabila kerajaan China yang dipimpin Parti Komunis China (CPC) memboikot perayaan Krismas baru-baru ini dan mengharamkan rakyatnya meraikan sambutan itu tidak pula menjadi isu. Menurut laporan South China Morning Post, sambutan itu dibimbangi menyebabkan rakyat di negara tersebut semakin melupakan perayaan budaya dan tradisi mereka kerana terlalu meraikan candu Barat.

Apabila ada sebuah negara Islam melakukannya, maka ultra kiasu ini ibarat katak dan cacing kepanasan. Namun, apabila negara China melakukannya tidak pula mereka bising. Maklumlah mereka sekapal. Di manakah tumpahnya kesetiaan kita?

Kadangkala tidak tunggu perayaan, dalam perkara lain, seolah-olah sudah menampakkan bahawa asal usul negara ini bukan kepunyaan Melayu. Misalnya, rumah ibadat yang besar berwarna warni, patung-patung, kubur-kubur yang tersergam indah meninggi atas bukit sehingga tenggelam identiti penduduk asal.

Pendek kata, toleransi rakyat Malaysia beragama Islam amat tinggi. Kebebasan diberikan tanpa had kepada bukan Islam. Jika tiba Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, negara ini seolah seperti negara China. Sama juga apabila tiba perayaan Krismas baru-baru ini, negara ini seolah-olah berada di Barat, seperti negara Kristian.

Tempat khalayak yang menjadi tumpuan seperti pasar raya dan bandar raya dipenuhi dengan simbol-simbol identiti bangsa dan perayaan mereka. Pendek kata, apabila tiba sahaja musim perayaan, negara ini langsung tidak mencerminkan identiti asal, sistem berasaskan kenegaraan Melayu. Pernahkah kerajaan atau penduduk majoriti membantah? Inilah toleransi orang Melayu yang tidak ada tolok bandingnya.

Hari ini bisnes orang Cina terus berkembang di Timur Tengah atau negara Arab. Pernahkah orang Islam menghalang? Ingin saya bertanya, bolehkah orang bukan Melayu menjadi kaya raya jika polisi kerajaan tidak membenarkan mereka menjadi kaya? Benar, mereka bekerja kuat. Tetapi jika negara kita mengamalkan kebaikan yang dibawa oleh Islam, adakah kerja keras tersebut boleh mengizinkan mereka menjadi kaya raya?

Apa yang dinyatakan oleh Presiden PAS itu benar. Telah pun saya coretkan banyak kali. Apabila tiba sahaja bab Islam, semuanya tidak boleh, ini ekstrem, itu ekstrem. Tetapi apabila tiba bab berkaitan mereka, semuanya mahu dibolehkan atas dasar demokrasi dan hak asasi.

Cuba teliti bait-bait ayat artikel Presiden PAS:

Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh. Tetapi pada masa sama, Islam memberi hak yang lebih banyak kepada penganut bukan Islam dalam aspek politik, ekonomi dan lain-lain urusan kehidupan, lebih daripada hak yang diberi oleh pendukung dan pejuang ideologi ciptaan manusia dan agama lain terhadap pihak yang berbeza dengan mereka. Islam mengurus secara lebih saksama dengan fitrah manusia, dengan syarat Islam sebenarnya berkuasa memerintah. Namun Islam juga tetap memelihara hak beragama lain tanpa menyentuh perkara yang diizinkan oleh agama masing-masing dengan sempadan memelihara keharmonian masyarakat majmuk dan perikemanusiaannya. Dalam aspek politik, Islam tegas mewajibkan kepimpinan utama yang menjaga dasar dan konsepnya daripada penganut Islam dan menerima bukan Islam dalam aspek kepakaran dan pengurusan, bukannya perkara dasar dan konsep. Maka Islam menerima kedudukan bukan Islam melalui pilihan raya atau konsep kerajaan teknokrat.”

Pendek kata, membaca keseluruhan artikel Presiden PAS, tidak ada satu baris menyisihkan bukan Islam yang hidup dalam negara majoriti Islam. Saya ingin tegaskan di sini, antara syarat kepemimpinan Islam sebagaimana yang dibincangkan dalam buku Siyasah Shar’iyyah adalah dalam kalangan orang Quraish. Dalam kata lain, ia boleh juga disebut dalam konteks isu ketuanan Quraish, yang mempunyai kaitan rapat dengan teori asabiyyah Ibn Khaldun.

Lebih jelas lagi, dikatakan syarat Quraish ini ialah selama mana orang Quraish punyai kewibawaan dalam kepemimpinan. Dalam hal ini, antara elemen yang menjadi ukurannya adalah daripada segi bilangan atau kuantiti (majoriti). Selagi mana elemen ini ada, maka elemen ‘ketuanan’ atau dalam bahasa lembutnya disebut kepemimpinan ini seharus diberikan kepada bangsa majoriti, berpandukan asal usul sistem kenegaraan itu.

Bertitik tolak daripada sini maka, konsep kepimpinan (ketuanan) Quraish ini boleh atau sah diaplikasikan dalam konteks orang Melayu di Nusantara atau di Kepulauan Melayu, selaku majoriti yang berada di tanah tumpahnya sendiri. Inilah sejarah yang telah membuktikan dan tidak boleh dipadamkan, meskipun ada percubaan untuk memadamkannya.

Ingatan saya kepada agamawan yang konon mendakwa diri mereka pandai dan sanggup menjualkan dirinya, yang membantutkan kefahaman siyadah (ketuanan) ini hanya kepada bangsa Arab. Namun, apabila faham siyadah hanya dibataskan pada Quraishiyyah, maka berjela-jela syarahannya menggunakan teori Ibn Khaldun. Pun begitu, apabila sampai dalam konteks Siyadah Malayuwiyyah, mereka terus terlopong.

Jijik sekali agamawan masa kini apabila tercantas (terbantut) ilmu dan peradabannya daripada ilmuan Melayu-Islam Nusantara. Apabila disebut al-Mawardi dan Abu Yusof misalnya, maka mereka pun terlompat-lompat mengiayakannya. Namun, apabila disebut Bukhari al-Jawhari, al-Raniri dan Raja Ali Haji, mereka sengaja mendiamkan diri, mungkin kerana tidak tahu atau buat-buat tidak tahu. Desperado dan hipokrit sungguh! Siapalah diri kita jika dibandingkan dengan mereka.

Justeru, janganlah menjadi terlalu hina kerana mahukan kemenangan dan kuasa politik. Tetapi jadilah anak jantan Islam yang terjun dalam arena politik  dengan ada maruah dan harga diri yang tidak boleh dijual beli. Saya tabik PAS kerana terus beristiqamah dalam perjuangan. Menang kalah, kita serahkan kepada Allah SWT. Kita hanya merancang, yang menentukan adalah Maha Pencipta dan segalanya.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Politik desperado yang menjijikkan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?