‘Rela mati di Bangladesh daripada pulang ke Myanmar’: Pelarian Rohingya

COX’S BAZAR, 4 Jamadilawal 1439H, Ahad – Biarpun hidup kebuluran dan serba kekurangan menetap di kem pelarian Bangladesh, kebanyakan etnik Rohingya tidak sanggup pulang ke Myanmar walaupun perjanjian penghantaran sudah dicapai.

Kenangan pahit ditindas, kediaman dibakar, keluarga dibunuh dan dirogol masih segar dalam ingatan setiap pelarian Rohingya di Cox’s Bazar.

Menurut seorang pelarian Rohingya berusia 45 tahun, dia lebih rela dibunuh di Bangladesh daripada kembali semula ke Myanmar.

Dia yang enggan namanya didedahkan berkata, keputusan melarikan diri dari Rakhine bulan ini dibuat selepas rejim Myanmar membakar rumah, dan menembak mati anak perempuannya yang berusia 14 tahun.

Kisah lelaki itu menunjukkan kempen keganasan terhadap minoriti muslim di Rakhine berterusan, walaupun perjanjian menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar sudah dicapai.

Kebanyakan pelarian Rohingya meluahkan kebimbangan terhadap perjanjian itu, kerana percaya kekejaman ke atas mereka masih belum berakhir.

Bukan hanya pelarian Rohingya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga melahirkan kebimbangannya mengenai persetujuan Bangladesh untuk menghantar pulang ratusan ribu penduduk Rohingya ke Myanmar.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bimbang kumpulan pelarian tersebut hanya dihantar pulang ke kem dan bukannya ke rumah masing-masing, serta proses penghantaran pulang itu perlu dilakukan secara sukarela dan bukan paksaan.

“Mereka akan menyembelih kami semua. Tolong jangan hantar kami kembali sebagai umpan kepada ‘raksasa’ itu,” kata Abd-us-Salam, salah seorang pelarian Rohingya berusia lebih 100 tahun.

Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun berkata, dia pernah ditembak di lengan ketika memasuki rumahnya, kemudian anggota badannya dipotong di dalam hutan.

“Saya akan pulang ke rumah jika hak dijamin. Kami akan kembali jika diiktiraf sebagai Rohingya, dan harta benda, peliharaan dan rumah kami,” katanya kepada Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF).

Perjanjian itu akan menghantar pulang 1,500 pelarian Rohingya setiap minggu dan ditempatkan di kem transit sementara di Myanmar sehingga kediaman mereka dibina semula.

Bagaimanapun, langkah itu dibuat tanpa sebarang pemantauan daripada pertubuhan antarabangsa, dan dibimbangi pelarian berkenaan diheret semula ke dunia kesengsaraan.- Agensi

The post ‘Rela mati di Bangladesh daripada pulang ke Myanmar’: Pelarian Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian