Semua pihak perlu main peranan jaga keselamatan murid sekolah


MELAKA, 18 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Semua pihak termasuk ibu bapa, sekolah dan masyarakat perlu saling membantu antara satu sama lain dan sedar akan tanggungjawab masing-masing dalam memastikan keselamatan murid ketika berada di sekolah bagi mengelak daripada berlakunya insiden yang tidak diingini.

Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Aziz Ujang berkata, ibu bapa, pihak sekolah serta masyarakat mempunyai peranan tersendiri dalam memastikan bahawa keselamatan murid dapat dijaga sama ada ketika berada di dalam atau di luar pagar sekolah.

Beliau berkata, tanggungjawab murid di luar pagar sekolah adalah terletak pada ibu bapa dan masyarakat awam namun pihak sekolah juga perlu terlibat sama membantu bagi mencegah daripada berlakunya perkara yang tidak dingini.

“Inisiatif yang boleh diambil oleh pihak sekolah di luar pagar sekolah adalah dengan menyediakan perkhidmatan pegawal keselamatan bagi melindungi murid. Sekolah juga boleh menguna khidmat polis atau Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kerana bilangan murid dan juga kenderaan begitu banyak ketika awal dan tamat sesi persekolahan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas tanggungjawab semua pihak dalam memastikan keselamatan murid sekolah berikutan kejadian seorang murid Tahun Dua parah setelah dilanggar oleh kenderaan petugas am sekolah di Sekolah Kebangsaan Baruk, Jasin dekat sini, Khamis lepas.

Aziz berkata, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku di dalam pagar sekolah dan boleh dianggap sebagai kecuaian pihak sekolah yang bertanggungjawab menjaga keselamatan muridnya di dalam kawasan sekolah.

Katanya, pihak sekolah sepatutnya mengambil langkah awal bagi mengelak perkara seperti ini berlaku dengan menggariskan langkah pencegahan seperti memperbaiki sistem laluan dan memberi pesanan secara berterusan kepada guru, kakitangan, ibu bapa dan pelajar sendiri.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Dato’ Demang Hussin, Datuk Yusof Jantan berkata, ibu bapa dan penjaga memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan anak mereka sewaktu berada di luar pagar sekolah.

Beliau berkata, ketika menghantar anak ke sekolah adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan bahawa anak mereka selamat sampai hingga ke dalam kawasan sekolah.

“Saya sering menasihati ibu bapa agar menghantar anak ke pagar sekolah dan tidak membiarkan anak mereka melintas secara bersendirian. Namun pada masa yang sama ibu bapa juga perlu peka dengan hak pengguna jalan raya lain dengan tidak meletakkan kenderaan sesuka hati di bahu jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Yusof berkata, garis panduan keselamatan yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan mengenai keselamatan pelajar di sekolah telah lengkap namun kesedaran pihak ibu bapa dalam mematuhinya perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Ibu bapa tidak boleh terus menuding jari kepada pihak sekolah atau kementerian apabila terjadi sesuatu perkara sebaliknya menjaga keselamatan anak juga menjadi tanggungjawab ibu bapa itu sendiri dan ianya harus dilakukan secara bersama,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka, Supt Mohd Sham Abdullah berkata, ibu bapa seharusnya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah dengan tidak membawa masuk kenderaan di dalam kawasan sekolah kerana boleh mengundang risiko kepada murid lain.

Mohd Sham berkata, pihak polis sentiasa memberi nasihat kepada ibu bapa akan tanggungjawab ibu bapa dalam menjaga keselamatan anak mereka ketika menghantar ke sekolah dan juga kepekaan mereka terhadap pengguna jalan raya yang lain.–  Bernama

The post Semua pihak perlu main peranan jaga keselamatan murid sekolah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian