SPRM tahan bekas pegawai tadbir kanan ICSU-ROAP

KUALA LUMPUR, 13 Jamadilawal 1439H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas Pegawai Tadbir Kanan Pejabat Serantau International Council for Scientific Union untuk Asia Pasifik (ICSU-ROAP) di bawah Akademi Sains Malaysia (ASM) kerana disyaki menyalahgunakan kedudukan serta terlibat dalam rasuah dan penyelewengan dana.

Menurut sumber SPRM, lelaki berumur 44 tahun itu ditahan bersama rakannya yang berumur 57 tahun di sebuah kondominium di ibu negara jam 11.30 pagi semalam.

Pegawai itu dipercayai telah memalsukan tandatangan bagi mendapatkan kelulusan ASM untuk menjalankan program anjuran ICSU-ROAP yang diuruskannya.

“Pegawai terbabit yang dilantik secara kontrak sejak 2008 telah bersubahat dengan rakannya, bagi menyeleweng dana tersebut lebih kurang RM3 juta sejak 2012 hingga 2017.

“Rakannya telah menyamar menggunakan gelaran sebagai seorang profesor lestari dari universiti tempatan yang kononnya merupakan seorang ahli sains yang mewakili negara ke program yang diadakan di luar negara anjuran ICSU-ROAP,” kata sumber itu ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, lelaki tersebut sememangnya bertanggungjawab ke atas pentadbiran dan kewangan ICSU-ROAP.

“Pegawai itu dipercayai telah memalsukan tandatangan Pengarah ICSU-ROAP dan Pengurus Program ICSU-ROAP dalam dokumen-dokumen tuntutan bagi pelaksanaan 73 program di dalam dan luar negara yang dianjurkan oleh ICSU-ROAP.

“Pegawai itu didapati telah mengemukakan invois, bil-bil hotel, tiket penerbangan dan lain-lain dokumen yang disyaki palsu bagi menyokong perbelanjaan program sedangkan ada sesetengah perbelanjaan tidak wujud dan ia bertujuan mendapatkan semula wang tersebut dengan menyalurkan ke akaun peribadi beliau,” kata sumber berkenaan.

Lelaki itu juga didapati telah mengada-adakan kewujudan seorang akauntan ASM palsu, kononnya membenarkan bayaran lebihan seperti hotel dan tiket penerbangan itu dikembalikan dan dimasukkan ke akaun peribadinya, menurut sumber itu.

Difahamkan, dana untuk ICSU-ROAP disalurkan daripada ICSU-Paris sebanyak 75 juta euro (RM361 juta) dan RM1 juta daripada Kementerian Kewangan yang disalurkan melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi kepada ASM setiap tahun.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi permohonan reman. – Bernama

 

The post SPRM tahan bekas pegawai tadbir kanan ICSU-ROAP appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian