Suspek kes bunuh di stesen minyak Johor Bahru bersembunyi di Thailand

BANGKOK, 23 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Beberapa suspek dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan kejam seorang lelaki di stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru yang viral Disember lalu, dipercayai bersembunyi di Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, usaha sedang dilakukan untuk mengesan dan menangkap mereka dengan bantuan polis Thailand.

“Kami percaya beberapa orang daripada mereka melarikan diri ke sini. Kita sudah mendapat rekod kemasukan mereka (ke Thailand) dan seorang daripada yang diburu itu adalah suspek utama (kes berkenaan),” katanya di sini, semalam.

Bukit Aman, katanya, berkeyakinan semua suspek yang melarikan diri ke Thailand itu akan berjaya dijejaki dan seterusnya ditangkap serta dibawa balik ke Malaysia untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

“Hanya tunggu masa sahaja (penangkapan suspek yang melarikan diri ke Thailand),” katanya dan menambah, selain rekod kemasukan ke Thailand, Bukit Aman juga mempunyai foto serta pelbagai maklumat dan dokumen mereka.

Ini ditambah pula reaksi balas yang amat positif daripada polis Thailand terhadap permintaan bantuan daripada Bukit Aman untuk memburu dan menangkap semua suspek yang kini bersembunyi di Thailand itu.

“Polis Thailand amat positif terhadap permintaan kita. Saya berkeyakinan,” kata Wan Ahmad Najmuddin, dan menambah, timbalannya serta pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia di Thailand akan mengkoordinasi usaha mengesan dan menangkap semua suspek itu di Thailand.

Dalam kejadian yang berlaku pada 17 Disember tahun lepas, seorang lelaki berusia 44 tahun ditikam dan dilanggar oleh sebuah kereta mewah BMW berwarna putih dalam kejadian yang berlaku di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di bandar raya itu.

Kejadian pembunuhan kejam itu turut dirakam oleh pelanggan stesen minyak itu dan menjadi viral di laman-laman sosial.

Polis menahan 14 orang untuk siasatan, dengan 11 daripada mereka telah pun dibebaskan, manakala seorang yang masih ditahan polis merupakan suspek utama kes pembunuhan yang menggemparkan seluruh negara itu.

Wan Ahmad Najmuddin berkata, polis percaya kes tersebut berjaya diselesaikan kerana pihaknya mempunyai segala bukti untuk mendakwa di mahkamah seorang daripada suspek yang masih ditahan.

Suspek yang masih ditahan reman itu dipercayai individu yang bertanggungjawab menikam mangsa, katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan polis menunjukkan kejadian pembunuhan itu telah dirancang dengan teliti dengan terdapat individu dalam kumpulan itu yang ditugaskan untuk mengekori dan membocorkan tayar kereta mangsa di stesen minyak itu.

Kejadian pembunuhan kejam itu katanya, berpunca daripada perbalahan berkenaan baki hutang mangsa sebanyak RM50,000 dan bukan akibat pergaduhan perebutan kawasan antara dua kumpulan samseng sebagaimana diperkatakan sebelum ini.

“Ia bukan ‘gang war’,” menurut beliau. – Bernama

The post Suspek kes bunuh di stesen minyak Johor Bahru bersembunyi di Thailand appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian