Syariah dan Politik: Syaukah, Hegemoni dan Tarbiyah

PEMBAHAGIAN kerusi dalam kalangan Pakatan Harapan baru-baru ini menunjukkan konsep dominasi satu-satu kumpulan ke atas kumpulan-kumpulan lain sememangnya satu-satunya konsep yang diimani dan dipegang utuh oleh pemain politik yang bijak di seluruh dunia, di sepanjang sejarah umat manusia.

Konsep perkongsian kuasa sama rata, yang tiada mana-mana kumpulan yang dominan, hanyalah dongengan semata-mata dalam dunia sebenar politik, tetapi sayangnya ia diimani oleh sebahagian kelompok Islamis, termasuklah mereka yang menunjangi Parti Amanah Negara.

Satu perkara lagi ialah kenaifan mereka dalam memahami kayu ukur dominasi dan hegemoni. Kerap kali mereka hanya merujuk kepada bilangan kerusi dan bilangan orang Melayu dalam blok kepartian semata-mata sebagai kayu ukur mereka terhadap dominasi dan hegemoni.

Saya teringat mufti dari negeri Perlis pernah melontarkan pandangan dalam satu forum di Kota Bharu semasa ambang PRU13 bahawa kita tidak perlu memberikan kemenangan 2/3, cukuplah “simple majority”. Saya di atas pentas ketika itu hanya tersengih. Pandangannya itu disanggah oleh panelis lain, Naib Presiden PAS ketika itu. Kemenangan 2/3 itu penting, katanya. Lebih kurang begitulah, saya tidak ingat satu persatu perkataan yang diungkapkan.

Mesti ada yang dominan, barulah sesuatu perkongsian kuasa itu stabil. Ini saya kira sebagai undang-undang pertama dalam soal kuasa yang mesti difahami oleh pemain politik, terutamanya kalangan Islamis. Jika tidak dominan tetapi masih mahu bermain dalam gelanggang pakatan kepartian, maka bersedialah untuk disepak pada bila-bila masa.

Perkara kedua ialah kayu ukur bagi dominasi, bukan sekadar bilangan kerusi, tetapi ia menjangkau kepada ukuran kekuatan dari sudut kewangan, pengaruh perkauman, sentimen agama dan budaya, yang melepasi sempadan parti semata-mata. Membaca dominasi dan hegemoni dalam konteks blok kepartian semata-mata adalah satu tindakan yang naif.

Sistem al-Imamah (sistem pemerintahan dalam Islam) tidak ada istilah tiada hegemoni atau tiada dominasi, bahkan sebahagian besar sejarah Islam di zaman kegemilangan hanya ada “absolute monarchy”. Tiada siapa mampu menghujahkan bahawa “absolute monarchy” adalah seburuk-buruk sistem, manakala demokrasi liberal sebaik-baik sistem dijumpai manusia. Jika ada, orang itu sedang berkhayal.

al-Imam al-Haramain al-Juwaini menggunakan istilah “Syaukah” (الشوكة) yang boleh menggambarkan makna yang dibawa oleh istilah hegemoni dan dominasi kuasa. Begitu juga Ibnu Khaldun, memerikan kepentingan hegemoni dan dominasi melalui penggunaan istilah “Asobiyah Gholibah” (عصبية غالبة).

Pendek kata, Islam menunjangi pendekatan hegemoni dan dominasi dalam politik, sebagaimana syariah mengambil pendekatan “التقريب و التغليب” dalam banyak hukum fekah. Kestabilan adalah faktor genting, menjauhi elemen ketidaktentuan.

Cuma, persoalan utama yang perlu dijawab ialah siapakah golongan pemerintah yang memiliki “Syaukah” itu? Siapakah pemerintah yang mewakili “Asobiyah Gholibah” itu?

Jawapannya boleh kita jumpai sebagai hikmah di sebalik keprihatinan Islam yang amat sangat pada watak dan sifat individu yang mahu dilantik sebagai pemerintah. Faktor orang, sebelum faktor sistem. Cuba buka kitab fekah bab al-Imamah, anda akan jumpa keprihatian utama pada faktor orang.

Diktator Mursi sudah tentu seribu kali ganda lebih baik daripada diktator Mubarak atau Sisi. Tetapi Mursi tiada “Syaukah”, itu sebab dia jatuh.

Oleh sebab itu, langkah pertama ke arah memartabatkan semula kuasa politik Islam di rantau ini ialah membina semula keperibadian yang amanah (kesolehan) dan kompeten (kekuatan) menurut neraca syarak. Bermula dengan tarbiyah. Justeru meminggirkan tarbiyah adalah satu kesilapan besar.

Tarbiyah sahaja cara untuk melahirkan individu soleh yang mampu berkolaborasi untuk membina kekuatan dominasi dan hegemoni; politik, ekonomi, budaya, pendidikan, undang-undang, keselamatan dan lain-lain.

Penjajah British sudah lama mengambil pendekatan ini. Itulah sebabnya kita berdepan dengan elit pemerintah dan bakal pemerintah yang diDIDIK dengan cara fikir dan gaya hidup Barat, walaupun makan pakainya Melayu, ibadat khususnya Islam dan kadang-kadang terbit “bau mulut” Melayu dalam kata-katanya. Sungguh sadis bagi Islamis yang mahu berpaut pada dominasi kuffar dan puak liberal.

Ustaz Haji Mohd Hazizi Ab Rahman

The post Syariah dan Politik: Syaukah, Hegemoni dan Tarbiyah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?