Terowong dasar laut: SPRM serbu pejabat kerajaan, swasta di Pulau Pinang

GEORGETOWN, 22 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat serbuan ke atas beberapa pejabat kerajaan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan syarikat berhubung siasatan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Difahamkan, pejabat kerajaan yang dikunjungi SPRM ialah pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Komtar.

Selain itu, Syarikat Ewein-Zenith, 555 Capital Diamond Valley Industrial Park dan Konsortium Zenith turut diserbu dalam serbuan pada jam 10 pagi itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan serbuan itu dan berkata, ia susulan daripada aduan yang dibuat Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan pada 5 Jan lepas.

“Kami mengambil dokumen di pejabat kerajaan dan beberapa syarikat yang berkaitan dengan projek terowong dasar laut itu. Buat masa ini tangkapan tidak ada lagi,” katanya.

Pada 5 Januari lalu, Huan membuat laporan dan menyerahkan bukti baharu berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion itu kepada SPRM di Putrajaya bagi menyiasat sama ada wujud unsur salah laku atau rasuah dalam pembidaan projek dasar laut itu.

Ia merupakan laporan kedua beliau kepada SPRM berkaitan kes berkenaan. Huan membuat laporan pertama di SPRM untuk kes yang sama pada 21 Julai lepas.

Pada 17 Julai lepas, Huan membuat laporan polis di Pulau Pinang dan meminta supaya disiasat dakwaan berhubung kerajaan Pulau Pinang telah menganugerahkan projek kepada sebuah syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan ketika membida projek terowong dasar laut itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. – Bernama

The post Terowong dasar laut: SPRM serbu pejabat kerajaan, swasta di Pulau Pinang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian