Tun M kecewa dihalang melawat Anwar Ibrahim
BANGI, 22 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad menziarahi Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, petang tadi tidak kesampaian apabila gagal mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara.
Beliau yang tiba pada jam 4.15 petang tadi mengakui kecewa apabila tidak dibenarkan bertemu Anwar atas arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Saya cuma nak kata saya tak dapat jumpa (Anwar) kerana saya diberitahu arahan diberi supaya tidak boleh berjumpa dengan Anwar.
“Saya rasa sedihlah, saya cuma nak jumpa dia, nak ucap terima kasih kerana dia tidak membantah bahkan menyokong saya sebagai calon (perdana menteri),” katanya seperti dilapor Sinar Online, hari ini.
Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu berkata, perkara seumpama itu tidak berlaku pada zaman pemerintahannya yang pernah digelar sebagai diktator satu ketika dahulu.
“Tak pernah saya larang sesiapapun berjumpa dengan sesiapa. Nak jumpa orang pun tak boleh, orang sakit nak pergi tengok pun tak boleh. Inilah keadaan negara kita,” katanya.
Anwar kini sedang menjalani rawatan pemulihan di hospital berkenaan selepas pembedahan bahu kanan pada November lepas.
The post Tun M kecewa dihalang melawat Anwar Ibrahim appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan