UMMAH anggap pembatalan agama kanak-kanak Islam berat sebelah

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 14 Jamadilawal 1439H, Rabu – Keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin, yang menyatakan penukaran agama anak bawah umur 18 tahun memerlukan persetujuan kedua ibu bapa, disifatkan sebagai berat sebelah dan tidak adil kepada pasangan yang memeluk agama Islam.

Merujuk penentuan agama anak sebagai contoh, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Aminuddin Yahaya berkata, syarat persetujuan kedua ibu bapa mesti diperolehi terlebih dahulu sebelum agama anak boleh ditukarkan dilihat memberi keadilan kepada suami serta isteri.

Namun katanya, jika dicermati dengan lebih mendalam, ia sebenarnya bersifat sangat berat sebelah dan sama sekali tidak adil kepada pasangan yang memeluk agama Islam.

“Hal ini kerana apabila seseorang itu memeluk Islam, sedangkan pasangannya tidak mahu memeluk Islam, perkahwinan di antara mereka akan perlu dibubarkan.

“Dalam menjalani proses pembubaran perkahwinan atau perceraian ini, ada kalanya kedua-dua pasangan tidak lagi bercakap di antara satu sama lain melainkan melalui peguam masing-masing.

“Justeru, sudah tentulah syarat untuk mendapatkan persetujuan kedua-dua belah pihak dalam hal penentuan agama anak adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk dicapai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan Isnin lalu, yang memutuskan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibunya, M Indira Gandhi.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata, keputusan itu jelas sekali tidak adil apabila seorang yang memeluk Islam perlu bersedia untuk melepaskan haknya di bawah Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan, berhubung penentuan agama dan pendidikan agama anak-anaknya.


Malah jelas beliau, keputusan pada Isnin lalu juga menyimpang daripada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2008, melibatkan kes Subashini a/p Rajasingam melawan Saravanan a/l Thangathoray.

Jelasnya, pendekatan yang diambil ketika itu dilihat lebih adil berbanding kes baru-baru ini, seolah-olah memberikan kuasa veto kepada pasangan bukan beragama Islam untuk menafikan hak dalam menentukan agama anak kepada pasangan mualaf.

“Ia adalah diskriminasi yang tidak adil kepada hak beragama seseorang Mualaf. Meskipun demikian, UMMAH tetap menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, dalam masa sama, Aminuddin berkata, UMMAH akan terus menggembeleng usaha membetulkan kekhilafan dalam sistem keadilan negara, menerusi jalan yang sah di sisi undang-undang.

“Ia termasuklah melalui pendekatan perbincangan, wacana, engagement, desakan, tuntutan, dan termasuk juga, jika perlu, masuk sebagai pencelah (intervener) bagi memfailkan semakan semula di Mahkamah Persekutuan.

“Wajar diambil perhatian bahawa keputusan mahkamah semalam turut menyentuh beberapa kelompongan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri Perak, terutamanya berkait cakupan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang tidak lengkap dan menyeluruh, sehingga menyebabkan Mahkamah Persekutuan menyatakan bahawa Mahkamah Sivil mempunyai bidangkuasa atas kelompongan tersebut,” katanya.

Serentak itu, UMMAH menggesa Dewan Undangan Negeri (DUN) di semua negeri untuk memastikan dan memasukkan cakupan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang menyeluruh ke dalam Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing serta Enakmen Pentadbiran Agama Islam di Negeri-Negeri.

Menurutnya, UMMAH menegaskan bahawa prinsip perundangan dan keadilan Islam hendaklah sentiasa dihormati serta digunapakai dalam sistem keadilan di negara ini, berasaskan konsep kedaulatan watan serta Raja-Raja Melayu bersumberkan ajaran Islam.

UMMAH turut mencadangkan supaya kerajaan mengusulkan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan dengan menjemput pakar-pakar dalam bidang berkaitan sebelum tindakan lanjut dibuat.

“Akhir sekali, UMMAH juga mendesak agar suatu SURUHANJAYA KEDAULATAN NEGARA (SUKEN) segera ditubuhkan oleh pihak kerajaan.

“Ia bagi memastikan keutuhan perlembagaan dari digugat oleh mana-mana pihak dengan matlamat untuk menyebarkan kefahaman dan tafsiran yang betul lagi bersifat watan tentang kedaulatan Raja-raja Melayu dan Islam sebagai Agama Persekutuan; juga memastikan prinsip pengharmonian undang-undang Malaysia digubal dan dikuatkuasakan di atas premis kedaulatan watan Raja-raja Melayu bersumberkan ajaran Islam,” katanya.

The post UMMAH anggap pembatalan agama kanak-kanak Islam berat sebelah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian