UNRWA lancar kempen antarabangsa kutip dana bantu Palestin
BAITULMAQDIS, 4 Jamadilawal 1439H, Ahad – Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) melancarkan kempen kutipan dana antarabangsa bagi membantu rakyat Palestin, selepas Amerika Syarikat (AS) memotong peruntukan kepadanya.
Kempen ‘Dignity is Priceless’ itu menyasarkan penderma baharu kepada UNRWA, kata agensi itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu menyebut UNRWA berdepan kesulitan untuk mengekalkan tanggungjawabnya serta memberi perkhidmatan, termasuk pendidikan dan penjagaan kesihatan, kepada pelarian Palestin, berikutan tindakan dramatik AS.
“Jutaan pelarian Palestin berdepan krisis kemanusiaan yang dahsyat,” kata kenyataan itu yang turut menggesa warga dunia menggunakan hashtag #DignityIsPriceless dan #FundUNRWA, bagi menyokong kempen itu.
Selasa lalu, Jabatan Negara AS mengumumkan Washington memotong peruntukan bantuan sebanyak AS$65 juta kepada Palestin menerusi UNRWA.
UNRWA menyediakan perkhidmatan kepada lebih 5.3 juta pelarian Palestin di wilayah yang diduduki rejim pengganas Zionis; di Jordan; Lubnan; dan Syria.
Jumlah keseluruhan bantuan UNRWA tahun lalu melebihi AS$350 juta.
Pada 6 Disember tahun lalu, Presiden AS, Donald Trump mengambil langkah yang mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa, khususnya dunia Islam, apabila mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Sejak perubahan polisi yang dibuat Trump itu, tunjuk perasaan membantah langkahnya diadakan di seluruh dunia, dan setakat ini 16 warga Palestin terbunuh dalam pertempuran dengan askar rejim pengganas Israel.
Baitulmaqdis yang turut menempatkan masjid suci ketiga dalam Islam – Masjid Al-Aqsa – terus menjadi punca pertelingkahan Palestin-Israel. Palestin mahukan Baitulmaqdis Timur menjadi ibu negaranya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi mengutuk pengiktirafan AS dan menganggap ianya tidak sah serta batal. – Agensi
The post UNRWA lancar kempen antarabangsa kutip dana bantu Palestin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan