Agar Kematian Tidak Sia-sia

 

Usia semakin hari semakin bertambah. Maut semakin hari semakin dekat. Sungguh, hanya Allah yang Maha Mengetahui bilakah ajal kita bakal tiba. Kematian bukanlah sesuatu yang kita mampu kawal. Namun kita ada kudrat yang dikurniakan oleh Allah agar kita sentiasa berusaha supaya kematian kita tidak sia-sia.

Kesibukan hidup kita membuatkan kita memandang enteng pada kematian. Hidup yang penuh cabaran dan dugaan menyebabkan kita alpa dan leka, sedangkan kematian merupakan salah satu momen terbesar dalam hidup kita.

Jikalau kematian merupakan momen terbesar bagi pengakhiran hidup di dunia, mengapa kita kurang merancang dan kurang bersedia untuk menghadapinya?

Merencana Kematian

Dalam lipatan sejarah para sahabat Rasulullah, kita pasti mengenali salah seorang sahabat bernama Abu Ayyub Al-Ansori. Beliau merupakan sahabat yang mendapat penghormatan apabila unta yang dinaiki Rasulullah berhenti di rumah beliau ketika mana penghijrahan Rasulullah ke Madinah. Beliau sangat mendambakan kesyahidan sehingga di akhir hayat, beliau meminta untuk dikuburkan di luar tembok Kota Konstantinopel kerana ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera yang bakal membuka Kota Konstantinopel.

Begitu juga dengan kisah Asy-syahid Dr. Abdul Aziz Ar-rantisi, beliau pernah mengungkapkan bahawa beliau lebih rela mati ditembak dengan Apache berbanding kematian biasa. Apa yang berlaku selepas itu? Beliau syahid ditembak oleh Apache milik Yahudi yang menembak tepat ke arah kenderaan yang dinaiki beliau.

Nah, lihat saja bagaimana mereka merancang kematian hingga akhirnya mereka meraih apa yang mereka cita-citakan.

Pilihlah tempat kuburmu

Kelaziman kita memilih untuk berpindah ke suatu tempat dek kerana perubahan tempat kerja ataupun di tempat tersebut kita miliki sebuah rumah idaman. Impian mengakhiri hidup kita dengan sebuah kehidupan yang indah dan tenang menjadi pilihan normal masyarakat kita.

Pernahkah kita terfikir untuk berpindah ke suatu tempat kerana kita mahu pasak batu nisan di situ demi sebuah perjuangan? Perit payah mengharungi hidup di tempat tersebut tidak kita peduli kerana pengorbanan dan cita-cita kita untuk mengakhiri hidup disitu agar anak bangsa kita terjaga dan maruah agama kita tidak dipijak-pijak. Kita berazam agar islam yang kita cintai tidak pupus ditelan zaman akibat perubahan dunia yang sungguh merisaukan.

Usaha membina generasi tidak boleh terhenti sekalipun seribu satu ujian melanda hidup kita. Sebagaimana kita merancang kewangan dan kehidupan dengan begitu terperinci, begitu juga kita perlu berusaha merencana kematian kita.

Dimana kita mahu jenazah kita di tanam? saya tinggalkan persoalan ini untuk renungan bersama agar kematian kita tidak sia-sia.

Oleh
Ahmad Raher bin Osman
Ketua Shukbah Pantai Dalam Isma Kuala Lumpur

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian