Apakah mata kalian sudah terhijab terhadap guru?

BILA tular di media sosial isu pelajar yang membunuh diri kerana tertekan dituduh oleh guru mencuri telefon, aku teringat kepada pesan guruku sewaktu awal-awal aku bertugas sebagai guru.

Begini pesannya:

“Panggilan ‘cikgu’ itu anugerah. Bergelar guru itu umpama pingat kebesaran dari Tuhan yang mengurniakan ladang amal yang cukup luas buatnya. Sebagai ganjaran, luas dibentangkan pahala dan jariah yang sedia untuk dituai hasilnya pada hari akhirat kelak.

Namun, untuk meraih anugerah dan pingat kebesaran bergelar guru itu bukan jalan yang mudah. Kudrat, peluh, airmata dan darah menjadi taruhan. Segalanya harus siap untuk dikorbankan buat anak murid.

Surat lantikan dan pengesahan jawatan tidak sama sekali akan menjadikan kamu guru dalam erti kata yang sebenar. Gaji dan elaun yang diterima tidak juga sama sekali membuatkan kamu bergelar guru dalam erti kata yang sebenar.

Guru dalam erti kata yang sebenar adalah mereka yang siap sedia dan senantiasa berbakti mencurah kudrat, keringat, air mata dan darah, demi mempersiapkan anak didik mereka untuk berhadapan dengan realiti dunia dan alam akhirat.

Guru dalam erti kata yang sebenar adalah mereka yang sanggup menelan jengkelnya perasaan, benci atau dendam terhadap anak didiknya atas hakikat ketinggian ilmu dan akhlak yang dimilikinya.

Guru dalam erti kata yang sebenar ialah mereka yang melihat kejahilan dan kelemahan anak didiknya sebagai tapak pesta amal dan jariah untuk mereka menuai hasil. Lalu berlumba-lumba mereka menabur budi dan jasa agar kejahilan dan kelemahan anak murid mereka akhirnya hanya menjadi satu sejarah untuk dikenang.

Guru dalam erti kata yang sebenar adalah mereka yang sentiasa menjadi penyuluh saat anak didik mereka buntu berada dalam kegelapan salah laku dan kedaifan adab dan adat.

Mulianya seorang guru itu diraih dengan semua perkara di atas. Bukan kemuliaan yang dipaksakan semata-mata atas gelaran cikgu atau guru. Tanpa pengorbanan maka ‘cikgu’ atau ‘guru’ itu hanya sebutan kosong dan sumbang yang membezakannya dengan kerjaya yang lain.

Inilah takrif guru yang aku fahami. Itulah makna cikgu yang aku imani. Tidak selain daripada ini.

Lalu aku serahkan kepada kalian untuk kalian menilai siapa yang layak untuk kalian panggil cikgu. Sekiranya sudah tidak ada lagi mereka yang layak untuk dipanggil sedemikian maka hanya ada dua kemungkinan yang berlaku. Sama ada mata dan hati kalian telah terhijab daripada melihat kebaikan orang lain atau umat ini sedang siap untuk terjun ke lembah kehancuran.

Asmadi Abdul Samad
Sentiasa dikelilingi cikgu

The post Apakah mata kalian sudah terhijab terhadap guru? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian