Badan kehakiman kena ambil kira kedudukan Islam: Hadi Awang

BANGI, 21 Jamadilawal 1439H, Rabu – Badan kehakiman negara sepatutnya mengambil kira kedudukan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan, dalam membuat sebarang keputusan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Beliau juga berkata, badan kehakiman perlu mengambil kira bidang kuasa negeri terhadap urusan Islam dan peranan raja-raja yang menjadi ketua agama Islam, yang menjadi komponen penting dalam negara ini.

Namun, katanya, pada masa yang sama hak dan batasan penganut agama lain dijaga.

“Kerajaan juga hendaklah berani dan tegas terhadap kalangan yang lebih menjaga kepentingan politik perkauman dan fanatik agamanya untuk pilihan raya tanpa mengambil kira aspek yang lain, sehingga melampau apabila mencabar Ketua Polis Negara yang tidak bertanding dalam pilihan raya, tetapi menunaikan kewajipan menjaga keharmonian.

“Kalangan yang mencabar juga tanpa peduli kepada kebijaksanaan secara ilmu kemanusiaan dan undang-undang yang menghormati semua pihak,” katanya mengulas mengenai penjagaan anak oleh ibu yang bukan beragama Islam.

Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang kerana tidak mendapat persetujuan ibu mereka, M Indira Gandhi.

Ketika mereka diislamkan pada 2009, kanak-kanak berkenaan itu masing-masing berusia 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, ulama Mazhab Syafie dan Hanbali tegas mengamalkan konsep berkebajikan dengan mewajibkan pihak Islam hendaklah diberi hak menjaga anak, kerana melihat pengawasan Islam terhadap kepentingan anak adalah menyeluruh.

“Bukan sahaja dalam aspek agama dan menyusu anak secara zahirnya, bahkan juga dalam aspek pemakanan yang halal kerana semua makanan yang haram adalah mendatangkan mudarat kepada jasad, roh dan akal kanak-kanak yang dijaga, tanpa menafikan naluri kesayangan ibu terhadap anak secara zahirnya, tetapi tidak ada kawalan terhadap pemakanan yang halal, kerana agama lain tidak mengharamkannya.

“Di samping itu, aspek akhlak yang berbeza dalam menilai baik dan buruk secara fitrah juga diberi perhatian. Islam juga memberi jaminan wajibnya ke atas anak menunaikan kewajipan terhadap ibu bapa yang tidak beragama Islam, walaupun anak itu tetap memilih agama Islam,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Mazhab Hanafi dan Maliki membenarkan ibu bukan Islam menjaga anak, tetapi dengan syarat jaminan yang sebenar dapat memelihara kesucian akhlak dan fitrah anak, serta tidak memberi makanan yang haram seperti daging babi, meminum arak dan sebagainya.

“Pandangan ini berdasarkan kepada negara dan masyarakat yang dilaksanakan Islam sepenuhnya sehingga dapat mengawasi anak tersebut dengan menjaga sensitiviti bapa dan masyarakat yang menganut Islam.

“Masalahnya, adakah aspek ini dapat dijaga dalam masyarakat yang telah meletakkan Islam tidak ada pengawasannya yang sempurna?,” katanya.

The post Badan kehakiman kena ambil kira kedudukan Islam: Hadi Awang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian