Baik buruk ekonomi rakyat hadapi kesan harga barang tinggi sekarang

 

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Jamadilawal 1439H, Sabtu – Sama ada ekonomi kita lebih baik atau lebih buruk daripada negara lain, ianya tidak memberi apa-apa kesan kepada majoriti rakyat Malaysia, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin.

Ini kerana, katanya, rakyat terus merasai bebanan apabila harga barangan sekarang lebih tinggi berbanding dahulu.

“Yang menjadi masalah ialah apabila harga beras, gula, kopi dan petrol yang dikatakan lebih murah daripada di negara jiran sebenarnya lebih mahal daripada apa yang pernah mereka bayar sebelum ini.

“Keluhan mereka hari ini ialah harga barang dan perkhidmatan meningkat pada kadar lebih tinggi dan lebih kerap berbanding pendapatan,” katanya.

Menulis dalam Sinar Harian hari ini, beliau berkata, orang asing lebih cepat dan mudah mengambil kesempatan daripada keadaan ekonomi Malaysia yang lebih baik dengan berhijrah ke negara ini.

“Sebab itulah orang asing dari negara kaya dan miskin berebut-rebut datang mencari makan di negara kita. Malangnya, pekerja asing yang dianggarkan lebih tiga juta orang menganggap Malaysia syurga, rakyat jelata kita sendiri semakin hari semakin menderita,” katanya.

Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang New Straits Times berkata, walaupun ada menteri menyatakan bahawa Malaysia dapat menangani krisis dengan lebih baik berbanding negara lain, inilah kali pertama dalam sejarah negara gagal mengatasi krisis ekonomi dengan cepat dan sepenuhnya.

“Dari segi perangkaan memanglah ekonomi kita tumbuh pada kadar lebih tinggi daripada sesetengah negara jiran. Tetapi seperti ditekankan oleh bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Lin See Yan, ekonomi kita indah khabar daripada rupa. Beliau menggunakan istilah sugar-coated (disaluti gula).

Beliau mencadangkan negara menjana pertubuhan ekonomi yang lebih berkualiti dan kembali mengamalkan dasar pembahagian kekayaan yang lebih sama rata.

“Tidak guna kita bercakap mengenai menjadi negara pendapatan tinggi apabila kadar pendapatan per kapita semakin menguncup dan jurang di antara yang kaya dengan yang miskin semakin melebar.

“Manakala satu bahagian yang besar daripada kekayaan negara mengalir keluar melalui penghantaran balik wang oleh pekerja asing dan keuntungan oleh pelabur asing serta pembayaran balik hutang antarabangsa oleh kerajaan dan sektor swasta,” katanya.

The post Baik buruk ekonomi rakyat hadapi kesan harga barang tinggi sekarang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian