Enam warga Thai ditangkap, 4 pistol, peralatan buat bom dirampas

KOTA BHARU, 19 Jamadilawal 1439H, Isnin – Dua pasangan suami isteri adalah antara enam warga Thailand yang ditahan kerana memiliki empat pucuk pistol buatan sendiri dalam dua serbuan berasingan di Ketereh, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Majlis Daerah Ketereh pada 2.30 pagi, pihaknya menahan sepasang suami isteri dan seorang lelaki berusia 19 hingga 39 tahun serta merampas tiga pistol buatan sendiri dan beberapa peralatan membuat bom seperti bateri dan mercun bola.

“Susulan serbuan itu, pihak kami membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Kampung Lancang di Ketereh dan menahan tiga lagi suspek, masing-masing sepasang suami isteri serta seorang wanita berusia antara 31 dan 54 tahun serta sepucuk pistol buatan sendiri,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Beliau berkata, hasil serbuan di kedua-dua rumah berkenaan turut menemui 164 peluru hidup serta beberapa paket dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM250.

Katanya, siasatan awal mendapati kesemua barangan terlarang itu diseludup masuk dari negara jiran menerusi pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand di negeri berkenaan.

“Kami percaya pistol dan bahan untuk membuat bom itu digunakan oleh suspek untuk melindungi diri mereka kerana terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman 14 hari bermula hari ini hingga 17 Februari mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 4 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan, Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama

The post Enam warga Thai ditangkap, 4 pistol, peralatan buat bom dirampas appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian