Felda beli saham Eagle High: Siapa kena pukau, soal Kadir

Oleh Nor Azlinda Abdullah

BANGI, 11 Jamadilakhir 1439H, Selasa – Akibat taksub kepada tauke Cina Indonesia, Peter Sondakh, Felda dianggarkan menanggung kerugian atas kertas kira-kira RM1.2 bilion, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata, jika pada 2012 lalu Felda diperkudakan untuk menjana keuntungan modal segera bagi pembiayai Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) melalui tawaran awam permulaan Felda Global Ventures (FGV), kini, menjelang PRU14, Felda sekali lagi diperalatkan untuk membeli ladang milik Sondakh pada harga yang amat tinggi.

Katanya, walaupun pembelian ladang Sondakh di Indonesia – Eagle High – dibantah dan dikritik banyak pihak, ia tetap diteruskan.

“Ini menimbulkan persoalan apakah yang tersirat di sebalik perhubungan luar biasa antara Perdana Menteri dengan Sondakh?Mustahil semata-mata kerana Sondakh berasal dari Sulawesi seperti keturunan Najib. Ramai dalam dunia politik, diplomasi dan perniagaan tahu betapa akrabnya Najib dengan Sondakh,” katanya.

Bekas Ketua Pengarang The News Straits Times Press itu berkata, walaupun Sondakh tidak boleh dibandingkan dengan orang kaya segera, Jho Low, jutawan Indonesia itu tetap memberi kesan hampir sama – menyebabkan negara berhutang.

“Siapa goda siapa dan siapa pukau siapa dalam permainan korporat ini amat penting diselidik dan difahami kerana akibatnya kepada Felda sangat buruk. Felda membeli hanya 37 peratus saham Eagle High tetapi sanggup (atau dipaksa) membayar harga yang sangat tinggi iaitu IDR580 seunit atau premium 95 peratus ke atas harga pasarannya.

“Felda dianggarkan telah membayar AS$505.4 juta (lebih RM2 bilion). Malangnya (atau memang sudah dijangkakan), tidak lama selepas pembelian itu harga saham Eagle High jatuh merudum. Hari ini, 26 Februari, harganya hanya IDR230 seunit, menyebabkan Felda menderita kerugian atas kertas lebih RM1.2 bilion,” katanya.

Kadir berkata, dengan kejatuhan lebih 50 peratus itu, pegangan Felda dalam Eagle High tidak bernilai dan jika hendak dijual bagi membayar hutang, mungkin nilainya amat kecil.

“Agaknya permanian korporat luar biasa seperti inilah menyelamatkan bekas Pengerusi Felda, (Tan Sri) Mohd Isa Abdul Samad, daripada dihadapkan ke mahkamah walaupun sudah ditangkap oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melakukan rasuah. Isa menyimpan banyak rahsia berbisa!,” katanya.

The post Felda beli saham Eagle High: Siapa kena pukau, soal Kadir appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?