ismakualaterengganu

Jangan percaya kepada pencuri, kata hakim

MANILA, 20 Jamadilawal 1439H, Selasa – Hakim Mahkamah Agung Filipina, Antonio Carpio, memberi amaran kepada presiden negara itu, Rodrigo Du...

MANILA, 20 Jamadilawal 1439H, Selasa – Hakim Mahkamah Agung Filipina, Antonio Carpio, memberi amaran kepada presiden negara itu, Rodrigo Duterte, jangan mempercayai jaminan China yang kononnya tidak akan menuntut terumbu lain di Laut China Selatan.

“Anda jangan percaya kepada niat baik pencuri yang memecah masuk ke rumah,” katanya merujuk kepada tindakan berterusan China membina pangkalan tentera di kawasan dipertikai di Laut China Selatan yang diisytiharkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai milik Filipina.

Beijing sebelum ini memberi jaminan tidak akan menuntut atau membina pulau buatan baharu di kawasan terumbu karang yang juga dituntut oleh Malaysia, Brunei, Vietnam dan Taiwan.

Laporan terbaharu media semalam mengatakan China hampir selesai mengubah terumbu karang itu menjadi sebuah pulau buatan yang lengkap dengan kemudahan pangkalan tentera laut dan udara, termasuk landasan kapal terbang.

Akhbar Philippine Daily Inquirer turut menyiarkan gambar kubah radar, rumah api, dan hangar di kawasan puluhan ribu meter persegi di atas pulau buatan itu.

Salah satu kawasan yang dikenali sebagai Reef Mischief, berada dalam zon ekonomi eksklusif 370 km (EEZ) Filipina, menurut Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) di The Hague.

Laporan itu berkata, Filipina akan kehilangan 40 peratus daripada kawasan perikanannya dan 80 peratus daripada ZEE di Laut China Selatan, jika ia tidak menghalang China daripada terus menceroboh kawasan itu.

Bagaimanapun, Duterte berkata, tindakan perang bukan langkah bijak bagi menyelesaikan pencerobohan China ke atas kawasan berkenaan yang mana PBB sebelum ini, mengatakan ia adalah milik Filipina.

Jurucakap Duterte, Harry Roque berkata, Manila mengetahui ‘kerja’ yang dilakukan oleh Beijing di beberapa terumbu dan Filipina percaya kepada jaminan China yang tidak akan menuntut mana-mana terumbu baharu.

“Sama ada kita suka atau tidak, China berniat menggunakannya sebagai pangkalan tentera. Kita tidak boleh mengisytiharkan perang. Bukan sahaja ianya salah, tetapi kerana ia tidak sesuai buat masa ini,” katanya.

Paolo Aquino, seorang pemimpin pembangkang membangkitkan keprihatinan terhadap perkembangan terbaharu itu dan mendesak pentadbiran Dutarte memberitahu rakyat Filipina mengenai apa yang sedang berlaku dengan China.

“Tatkala kapal perang mereka berada di laut kita, kita terus memberikan harapan kepada mereka dan, rakyat pula berada dalam kekeliruan berhubung urusan kerajaan kita dengan China,” katanya.

Pada Julai 2016, PCA memutuskan bahawa China tidak mempunyai asas dari segi undang-undang untuk menuntut hak dari segi sejarah ke atas kawasan yang luas di Laut China Selatan.

China mendakwa rakyatnya telah memonopoli kawasan lautan itu sejak lebih 2,000 tahun lalu. – Agensi

The post Jangan percaya kepada pencuri, kata hakim appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 4762554600504111757

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item