Kedutaan Amerika pindah dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis 14 Mei
GAZA, 8 Jamadilakhir 1439H, Sabtu – Amerika Syarikat (AS) akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada 14 Mei ini sempena sambutan ulang tahun Hari Kebangsaan ke-70 rejim pengganas Israel, kata pegawai AS, hari ini.
Naib Presiden AS, Mike Pence dalam lawatan ke Israel bulan lalu, mengatakan pemindahan kedutaan AS ke Baitulmaqdis akan dibuat pada hujung 2019, tetapi pentadbiran Trump dilapor telah mempercepatkannya.
Terdapat beberapa kemungkinan kawasan yang bakal menempatkan kedutaan baharu AS di Baitulmaqdis, termasuk bangunan di Talpiyot di tenggara Baitulmaqdis, yang sekarang ini digunakan sebagai pejabat konsular AS menguruskan pasport dan visa.
Pegawai AS berkata, Washington boleh mengubah suai sebuah pejabat kecil di bangunan berkenaan bagi menempatkan duta sedia ada, David Friedman dan seorang atau dua pembantu, termasuk ketua stafnya.
Langkah itu membolehkan pentadbiran AS menggantung tanda ‘kedutaan’ di pintu pejabat dan dibuka secara rasmi ketika rejim pengganas Israel menyambut Hari Kebangsaan pada 14 Mei.
Pada 6 Disember tahun lalu, Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memberi isyarat bahawa AS akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv.
Pengumuman itu menimbulkan kemarahan dunia Islam dan Arab, menyebabkan rakyat Palestin melancarkan tunjuk perasaan dan keganasan tercetus di wilayah Palestin yang diduduki secara haram oleh rejim pengganas Israel.
Pengumuman Trump itu juga ditolak oleh 128 negara yang mengundi pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) hujung Disember lalu.
Sementara itu, pegawai Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Sami Abu Zuhri berkata, memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis adalah perisytiharan perang terhadap negara Arab dan umat Islam, dan AS mesti menimbang semula langkah itu.
Pada masa sama, pertempuran tercetus antara rakyat Palestin dan askar rejim pengganas Israel di Gaza awal hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya 25 cedera.
Sejak 6 Disember tahun lalu, 20 rakyat Palestin terbunuh ketika mengadakan tunjuk perasaan dan bertempur dengan rejim Zionis, sebagai membantah pengumuman Trump. – Agensi
The post Kedutaan Amerika pindah dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis 14 Mei appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan