KELAHIRAN RUMAH DAN DOULA

SAYA merujuk kepada kes kematian bayi akibat kelahiran dirumah yang terjadi baru-baru ini di selatan tanah air. Bayi tersebut dilaporkan lemas kerana dilahirkan secara songsang, dan hanya disambut oleh suami yang tidak berpengalaman dengan bantuan peneman bersalin (doula) melalui panggilan telefon.

Ini mengingatkan saya tentang kes serupa dalam tahun 2013, seorang ibu yang bersalin di rumah, juga ditemani doula yang meninggal dunia akibat tumpah darah setelah uri dibiarkan didalam rahim selama beberapa jam. Sama seperti di atas, doula terbabit terpaksa melakukan resusitasi (CPR) melalui panggilan telefon! kerana tidak mempunyai ilmu asas mengenainya.

Ya, ajal telah ditentukan Qada dan Qadar. Tetapi Islam menekankan kepentingan ikhtiar dan pengetahuan yang jelas, yang dapat membantu kita membuat keputusan bersadarkan pengalaman dan ilmu pengetahuan.

Ramai tersalah anggap yang natural bermaksud Islamik. Natural adalah menyerahkan segala urusan di tangan Allah. Jika ada campur tangan , seseorang itu dikira tidak cukup iman akibat terlalu bergantung kepada manusia lain dan teknologi.

Ini adalah salah.

MENGIMBANGI MAQASID AL SYARIAH DALAM PERUBATAN MODEN

Saya diberikan diberikan peluang menjadi tenaga pengajar di dua fakulti perubatan terkemuka- dulunya di UIA dan kini di USIM. Mahasiswa kedua-dua institusi ini difahamkan bahawasanya Islam meliputi pendekatan yang meluas dalam teknik penyiasatan dan rawatan serta mencakupi skop yang menyeluruh. Pelajar diajar konsep Maqasid Al Shariah atau Tujuan Hukum Shariah.

Maqasid al-Shariah terdiri daripada lima,

1. Melindungi Agama (Hifdh al-Din) 
2. Melindungi Nyawa (Hifdh an-Nafs) 
3. Melindungi Akal ( Hifdh al-Aql) 
4. Melindungi Keturunan ( Hifdh an-Nasl) 
5. Melindungi Harta (Hifdh al-Maal)

Dalam Maqasid Syariah, tiada dinyatakan secara khusus dengan cara bagaimanakah seseorang itu dapat melindungi lima prinsip diatas. Tidak dinyatakan sama ada kaedah natural, atau campur tangan perubatan moden. Jika salah satu cara terbukti lebih baik daripada cara yang lain; dalam melindungi nyawa misalnya, jadi kita harus memilih kaedah yang lebih baik. Bahkan untuk melindungi nyawa, adalah menjadi WAJIB untuk kita memilih kaedah yang lebih baik.

BIDANG PERBIDANAN, KELAHIRAN DI RUMAH DAN PENGURUSAN AKTIF TAHAP KETIGA KELAHIRAN (ACTIVE MANAGEMENT OF THIRD STAGE LABOUR: AMTSL)

Bidang perbidanan, sama ada di Malaysia atau negara luar telah berjaya mengumpul banyak data berkenaan risiko melahirkan di rumah- risiko yang terpaksa dihadapi generasi nenek moyang kita.

Ada kes pendarahan selepas bersalin akibat uri tidak keluar dan ini memerlukan pemindahan darah. Ada kes tali pusat melilit leher bayi menyebabkan bayi sukar bernafas dan memerlukan alat bantu pernafasan (ventilator). Ada juga kes kelahiran yang memakan masa terlalu lama sehingga bayi terpaksa dikeluarkan secara pembedahan Caesarean. Semua kes ini hanya boleh dikendalikan di hospital.

Memberi suntikan ubat tertentu yang membolehkan rahim mengecut lebih pantas bagi mengelak tumpah darah, dan membantu ibu mengeluarkan uri (prosedur dinamakan control cord traction) adalah prosedur di bawah Pengurusan Aktif Tahap Ketiga Kehamilan (AMTSL). Ya, prosedur-prosedur ini melibatkan pengunaan ubatan, dibantu oleh manusia lain (doktor dan jururawat perbidanan) dan menggunakan mesin. Tetapi seperti yang telah saya jelaskan tadi, Maqasid Shariah mengutamakan prinsip melindungi nyawa, bukan cara.

QAWAID AL SYARIAH

Ini membawa kita kepada satu lagi konsep iaitu 5 prinsip perundangan (Qawaid Al Shariah)

1. Prinsip Niat
2. Prinsip Keyakinan 
3. Prinsip Kemudharatan
4. Prinsip Keberatan 
5. Prinsip Uruf/Adat

Dalam prinsip Keyakinan, ia merujuk kepada keyakinan yang tidak boleh dibatalkan, diubah atau diubah suai oleh sesuatu yang tidak meyakinkan. (al yaqeen la yazuulu bi al shakk)

Suka saya tekankan di sini bahawasanya sebarang rawatan atau tindakan manusia sepatutnya tidak berdasarkan bukti baru yang tidak mencapai tahap meyakinkan. Prinsip keyakinan berdasarkan ilmu dalam urutan menurun adalah seperti berikut:

Yaqeen (yakin) 
Ghalabatul Dzon (tekaan yang terutama) 
Dzon (tekaan) 
Syakk (keraguan)

Dalam bidang perubatan, untuk mencapai tahap yakin dalam membuat sesuatu keputusan penting, seseorang itu sekurang-kurangnya perlu di tahap Ghalabatul Dzon bersandarkan fakta (daripada eksperimen, pemerhatian, kajian). Kemungkinan 50-50 sahaja tidak mencukupi.

Ini memerlukan banyak kajian dan pengajian mendalam. Oleh itu, perubatan berdasarkan pembuktian (evidence based medicine) berdasarkan kajian menyeluruh adalah bersifat sangat Islamik memandangkan ianya selari dengan objektif mencapai Qawaid Al Shariah.

Jesteru, saya sukar memahami sikap segelintir masyarakat yang menolak perubatan moden dengan mengatakan ianya kurang Islamik.

TUJUAN MENGELUARKAN URI SECEPAT MUNGKIN

Kes dimana seorang ibu dilaporkan meninggal dunia akibat uri tertinggal lebih dari beberapa jam semata-mata menunggu uri keluar secara semulajadi amat lah dikesali. Banyak kajian telah membuktikan AMTSL telah berjaya mengurangkan tumpah darah sebanyak 60%-70%. Ini hanya membandingkan kes-kes bersalin di hospital dengan kelengkapan lengkap. Pada pandangan saya, AMTSL juga membantu walaupun semasa melahirkan di rumah. AMTSL, yang tidak dibantah syarak, dan dibuktikan keberkesanannya dan mengikut prinsip memelihara nyawa, sepatutnya menjadi pilihan para ibu.

RISIKO KELAHIRAN SONGSANG

Begitu juga dalam kes kelahiran songsang. Kajian meta analisis melibatkan 258 953 kes wanita mengandung, menyatakan kelahiran bayi songsang secara melalui vagina (vaginal delivery) mempunyai risiko komplikasi yang lebih tinggi dibandingkan dengan kelahiran bayi songsang melalui pembedahan caesarean. Kematian anak dalam kelahiran songsang melalui vagina adalah lebih kerap iaitu 1 dalam setiap 300 kelahiran, berbanding dengan kematian bayi songsang yang dilahirkan melalui pembedahan caesarean iaitu 1 dalam 2000. Oleh itu, apabila doktor mencadangkan kelahiran melalui pembedahan (tidak semua bayi songsang perlu melalui pembedahan caesarean), bermakna mereka telah mengenal pasti risiko bagi seseorang ibu dan bayi sebaik-baiknya.

Kesimpulannya, perubatan moden bertujuan mengurangkan risiko-risiko sebegini, bukannya berniat menyusahkan ibu-ibu.

Para ibu yang terpaksa menghadapi kesusahan sewaktu bersalin di hospital, perlu berkongsi fasiliti dengan pesakit lain, faham benar bahawasanya semua ini dilakukan semata-mata demi keselamatan bayi mereka.

Jadi, ibu-ibu yang sedang menimbang samada melahirkan di rumah atau di hospital, sila fikirkan pilihan anda dengan teliti. Niat mahu melahirkan di rumah semata-mata bagi menikmati suasana di rumah – sebagaimana yang saya baca dalam kebanyakan blog dan forum- seharusnya difikirkan semula dengan soalan: “Kepentingan siapakah yang anda utamakan, anda atau bayi anda?”

Professor Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.
Presiden WAFIQ
Naib Presiden I-Medik

1. http://www.imedik.org/another-death-by-home-birth/

2. http://www2.nst.com.my/…/home-births-it-s-wajib-to-choose-l…

3. https://www.medscape.com/viewarticle/848950

The post KELAHIRAN RUMAH DAN DOULA appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?