ismakualaterengganu

Keputusan mahkamah akhiri penantian keluarga mangsa nahas Lebuhraya DUKE

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Penantian kami berakhir. Demikian luahan kakak kepada Fairuz Nizam Husain, yang maut dalam kema...

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Penantian kami berakhir. Demikian luahan kakak kepada Fairuz Nizam Husain, yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) di sini hampir tiga tahun lalu.

Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 kepada dua pemandu Perodua Myvi yang menyebabkan kemalangan tragis itu.

Yusnidah Husain, 49, berkata beliau dan keluarganya redha terhadap keputusan itu walaupun jauh di sudut hati mereka agak terkilan dengan hukuman itu yang disifatkan tidak setimpal.

“Tiga tahun…(hukuman penjara) tidak setimpal dengan nyawa… anak-anak ditinggalkan mama papanya ketika mereka masih kecil, tidak faham apa-apa.

“Mereka membesar dengan Kak Ngah, memanglah mereka dapat kasih sayang, tetapi tidak sama dengan kasih sayang mama dan papanya. Disebabkan kecuaian orang lain, anak kecil yang menerima nasib begini (yatim piatu),” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Yusnidah yang mesra disapa “Kak Ngah” berkata, beliau mengetahui mengenai keputusan mahkamah itu apabila dihubungi adik beradiknya yang meluahkan perasaan kecewa dan tidak puas hati.

“Tapi nak buat macam mana, ini keputusan mahkamah, Kak Ngah beritahu mereka sekurang-kurangnya penantian kita selama tiga tahun dah berakhir, kita tahu apa keputusannya.

“Kita tahu apa hukuman kepada kedua-dua pemandu itu,“ katanya yang berharap kejadian itu dapat memberi pengajaran kepada pemandu lain agar tidak cuai ketika di jalan raya.

Ketika ditanya adakah beliau akan beritahu keputusan mahkamah itu kepada dua anak mangsa Nur Firuza Amira, 10, dan Nur Firuza Aqila, 7, Yusnidah berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu selepas melihat keadaan dua beradik itu.

Katanya, Amira sudah matang dan boleh memahami perkara yang disampaikan namun beliau perlu berhati-hati kerana anak kecil itu mudah tersentuh, menangis dan akan demam setiap kali bersedih mendengar perkara berkaitan arwah kedua ibu bapa dan adik bongsunya.

Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara masing-masing tiga tahun dan denda RM10,000 ke atas Siti Noor Aini Mohd Said, 39, penyelia restoran, dan kenalannya yang merupakan tertuduh kedua, Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 34, yang bekerja sendiri.

Mereka didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam, 35, isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka yang berusia enam bulan, Nur Firuza Annisa.

Kedua-dua tertuduh turut hilang kelayakan dari memegang lesen memandu selama tempoh lima tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Km6, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta antara 12.31 tengah malam dan 12.35 tengah malam pada 2 Mei 2015.

Tuduhan itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000. – Bernama

The post Keputusan mahkamah akhiri penantian keluarga mangsa nahas Lebuhraya DUKE appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 2545661632052957845

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item