Lima nelayan selamat insiden tembakan di perairan Sabah

KINABATANGAN, 8 Jamadilakhir 1439H, Sabtu – Lima nelayan nyaris maut selepas bot mereka ditembak oleh lima lelaki dalam satu kejadian di perairan Segama dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan A Sahak Rahmat berkata, berdasarkan laporan yang diterima polis, kejadian berlaku ketika bot yang dinaiki juragan dan empat kru itu sedang menunda pukat kira-kira 11 batu nautika dari Kuala Segama.

Mereka mendakwa bot mereka didekati oleh sebuah bot yang dinaiki lima lelaki berpakaian hitam yang muncul tiba-tiba sebelum mengarahkan bot nelayan terbabit berhenti, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, bagaimanapun juragan bot yang bimbang akan keselamatan mereka tidak mematuhi arahan tersebut menyebabkan seorang daripada lelaki berpakaian hitam berkenaan mengangkat selaras senjata berat yang tidak dipastikan jenisnya lalu melepaskan satu das tembakan yang mengenai dinding kiri bot nelayan terbabit.

Tembakan itu menyebabkan kelima-lima nelayan berusia 19 hingga 48 tahun berkenaan lari bersembunyi di bahagian enjin bot.

Katanya, bot dinaiki lima lelaki itu dipercayai bergerak ke bahagian depan bot nelayan berkenaan sebelum melepaskan dua das tembakan yang mengenai bumbung tempat jurumudi.

Mereka kemudian bergerak ke arah belakang bot nelayan itu serta melepaskan beberapa das tembakan lagi ke arah bot tunda berkenaan sebelum beredar meninggalkan kawasan tersebut, katanya.

Beliau berkata, nelayan terbabit yang tidak mengalami sebarang kecederaan membuat laporan polis di Balai Polis Sandakan pada 12.43 tengah malam tadi.

Pemeriksaan pada bot nelayan berkenaan menemukan beberapa kesan tembakan di dalam ruang kemudi bot, katanya. – Bernama

The post Lima nelayan selamat insiden tembakan di perairan Sabah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian