Mahkamah tangguh keputusan rayuan kes ‘bin Abdullah’

Oleh Siti Fatimah Ishak

PUTRAJAYA, 21 Jamadilawal 1439H, Isnin , Rabu – Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menangguhkan keputusan rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan dua lagi pihak terhadap keputusan yang membenarkan anak tidak sah taraf dibin atau dibintikan kepada bapanya.

Mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi memutuskan sama ada Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957, berhubung kebenaran untuk anak luar nikah dibinkan bapanya, terpakai untuk mereka yang beragama Islam.

Keputusan itu dibuat selepas lima panel hakim yang diketuai Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan tiga persoalan perundangan dihujahkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Empat lagi panel hakim bersidang bersama adalah Tan Sri Datuk Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hassan Lah, Datuk Sri Balla Yusof Hj Wahl dan Tan Sri Datuk Wira Aziah Ali.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini membenarkan MAINJ menjadi pencelah memandangkan ibu bapa dalam rayuan itu berasal dari negeri berkenaan.

Peguam yang mewakili MAINJ, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, antara persoalan yang dikemukakan petang tadi adalah sama ada ketika membuat pendaftaran kelahiran kanak-kanak beragama Islam, Pendaftar Kelahiran dan Kematian boleh merujuk dan bergantung kepada sumber perundangan Islam mengenai kesahtarafan.

“Hujah pihak kita juga sama ada Mahkamah Sivil boleh memutuskan persoalan kesahtarafan kanak-kanak beragama Islam berhubung penamaan dan penasaban.

“Seterusnya berkaitan peruntukan 13A Akta 299 terpakai kepada pendaftaran kelahiran kanak-kanak beragama Islam bagi membolehkan kanak-kanak tersebut dibinkan kepada nama peribadi orang yang mengaku sebagai bapa,” katanya.

Sementara itu Ikbal Salam, yang juga peguam MAINJ berkata, dalam kes ini Pendaftar Kelahiran telah merujuk kepada Fatwa Mufti Negeri Johor dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan bahawa anak tidak sah taraf adalah anak yang lahir kurang 6 bulan qamariah dari tarikh pernikahan.

Justeru, ia memutuskan anak yang lahir itu tidak boleh dibinkan atas nama bapa tersebut.

Mengulas lanjut katanya, pihak MAINJ juga berhujah bahawa fatwa yang tidak digazetkan masih tetap berkuatkuasa di Negeri Johor memandangkan fatwa berkaitan status anak tak sah taraf telah dimaklumkan secara bertulis oleh Jabatan Mufti kepada Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Johor.

“Fatwa Mufti Johor mengesahkan bahawa mereka yang lahir kurang dari 6 bulan Qamariah adalah dianggap tidak sah taraf, tidak boleh dinasabkan kepada bapa itu.

“Yang jelas ia perlu diuruskan sebagai anak tidak sah taraf dalam hal pewalian, pernikahan, harta pusaka tanpa menidakkan kemuliaan dan kehormatan anak itu,” katanya ketika ditemui pemberita.

Tambah beliau, dalam perbicaraan hari ini, pihak responden telah merujuk kepada Fatwa Negeri Perlis untuk dipertimbangkan oleh pihak mahkamah.

Bagaimanapun ianya bertentangan dengan hujahan MAINJ, kerana Fatwa negeri Perlis membenarkan anak tak sah taraf dibinkan atas nama bapa kandung, dan bukan bin Abdullah.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan dalam penghakimannya membenarkan rayuan dikemukakan pasangan yang memfailkan semakan kehakiman untuk memaksa ketua pengarah JPN menggantikan nama anak mereka berbin atau berbinti Abdullah dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran.

Pada 25 Mei tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengumumkan bahawa anak luar nikah pasangan beragama Islam tidak perlu lagi mengunakan bin atau binti ‘Abdullah’.

Keputusan sebulat suara itu dicapai panel tiga hakim diketuai Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu dan kedua ibu bapanya (identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah).

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 4 Ogos tahun lalu yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya.

Hakim Abdul Rahman Sebli dalam penghakiman bertulisnya berpendapat, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertindak tidak wajar dan di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan `Abdullah’ sebagai nama keluarga dalam sijil kelahiran seorang kanak-kanak luar nikah.

Pada 8 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan JPN dan dua pihak lagi kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan tiga persoalan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Rayuan, dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada 25 Julai tahun lepas, menegaskan bahawa ketua pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa kanak-kanak Islam yang tidak sah taraf.

The post Mahkamah tangguh keputusan rayuan kes ‘bin Abdullah’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian