Pakatan Harapan fail semakan kehakiman terhadap ROS

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Pakatan Harapan hari ini memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) menjawab permohonan mereka mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar.

Permohonan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Gobind Singh Deo & Co dengan menamakan ROS sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Parti Harapan menamakan Setiausaha Jawatankuasa Penaja Pakatan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus; serta Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh selaku pemohon.

Kesemua pemohon menuntut deklarasi bahawa tindakan ROS yang tidak mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar dan membalas surat bertarikh 6 Feb lalu adalah bercanggah dengan kewajipan statutori dan harapan sah mereka.

Mereka juga menuntut deklarasi tindakan itu tidak munasabah, mala fide, dan menuntut perintah mandamus bagi mendesak ROS mendaftarkan Pakatan Harapan sebagai pertubuhan berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966 selain menuntut kos dan perintah lain yang sesuai oleh mahkamah.

Berdasarkan afidavit yang difailkan bersama permohonan itu, Abang Ahmad Kerdee berkata satu permohonan bagi pendaftaran Pakatan Harapan telah dibuat pada 28 Julai 2017, namun beliau mendakwa ROS tidak memberi maklum balas biarpun beberapa pucuk surat telah ditulis kepada ROS dan Menteri Dalam NegeriDatuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Abang Kerdee berkata jika Pakatan Harapan tidak didaftarkan sebagai pertubuhan berdaftar, calon-calon pilihan raya dalam parti komponen Pakatan Harapan iaitu DAP, PKR, Amanah atau PPBM tidak akan dapat menggunakan logo Pakatan Harapan atau parti-parti komponen Pakatan Harapan dalam pilihan raya akan datang. – Bernama

The post Pakatan Harapan fail semakan kehakiman terhadap ROS appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian