Persekitaran ekstrem tunggu pencari bangkai pesawat MH370

SYDNEY, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Pasukan penyelamat yakin serpihan dan mayat penumpang MH370 dapat ditemui semula jika pesawat Malaysia Airlines itu dijumpai, walaupun dalam kesulitan akibat tekanan tinggi dan air laut yang sejuk.

Boeing 777 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang hampir empat tahun lalu, sehingga kini belum ditemui, menjadikannya sebagai salah satu misteri terbesar penerbangan. Usaha mencari dan menyelamat sebelum ini diketuai Australia di kawasan 120,000 kilometer persegi (46,000 kilometer), bagaimanapun gagal mendedahkan tapak nahas itu.

Namun, satu siasatan baharu yang kini dijalankan firma Ocean Infinity – yang ditauliahkan oleh Malaysia atas dasar ‘tidak jumpa tiada caj’ – menghidupkan kembali harapan pesawat malang itu dijumpai.

Jika bangkai pesawat itu terletak di dasar laut yang berbahaya iaitu sehingga kedalaman enam kilometer atau 19,685 kaki, dan jauh pula daripada kawasan carian terdahulu di Australia Barat dan utara, pakar mengatakan bahawa robot bawah air berteknologi tinggi boleh melakukan misi itu.

Ketua Penyelamat Afrika Selatan, Nick Sloane yang mengetuai operasi mencari kapal pesiaran Itali, Costa Concordia yang terbalik dan tenggelam pada 2012 lalu, berkata, kakitangan syarikat itu bekerja dalam persekitaran yang ekstrem semampu yang boleh.

“(Tetapi) manfaat kepada pengeluar kapal terbang, pengendali dan keluarga adalah bahawa jika anda benar-benar mengenal pasti kedudukan bangkai pesawat itu, maka adalah berbaloi untuk mengambil langkah seterusnya dan mendapatkannya,” katanya.

Ekspedisi pencarian itu memerlukan teknologi canggih dan berpotensi menelan kos lebih daripada AS$70 juta, ganjaran yang ditawarkan Malaysia kepada Ocean Infinity.

Dalam misi pencarian sebelum ini, yang terbesar dalam sejarah penerbangan, lantai laut dipetakan secara terperinci buat kali pertama, yang mendedahkan kepelbagaian rupa bentuk dasar laut di kawasan berkaitan.

Pemetaan itu turut menunjukkan lantai laut pada kedalaman lebih 4,700 meter, gunung setinggi 1,500 meter dengan keluasan sehingga satu kilometer, jurang yang dalam dan runtuh mendapat tanah secara besar-besaran.

Jika serpihan ditemui pada kedalaman 2,000 hingga 6,000 meter – dikenali sebagai Zon Abyssal – penyelamat perlu bekerja dalam persekitaran gelap dan berhampiran kawasan sejuk di mana tekanannya boleh mencapai 9,000 paun seinci persegi.

Sebelum ini, serpihan pesawat Air France 477 pernah ditemui pada kedalaman 4,000 meteri di lautan Atlantik. Kapal kargo Al Faro pula ditemui di Bahamas pada kedalaman 4,500 meter dan South African Airways 295 (4,900 meter) di Mauritius – lebih dalam daripada operasi menggali minyak dan gas.

Jentera yang boleh beroperasi pada kedalaman ekstrem, termasuk kenderaan kawalan jarak jauh Odyssey Marine Exploration, yang mempunyai bingkai yang diperbuat daripada aluminium berketumpatan tinggi.

ROV itu yang diikat pada kapal induk dilengkapi lampu LED yang mampu menerangi persekitaran gelap dan mampu merekodkan rakaman berdefinisi tinggi, kata Ketua Pegawai Operasi Odyssey Marine, John Longley.

Namun, pakar berkata, tidak semua bahagian bangkai MH370 perlu ditemukan untuk menentukan apa yang menyebabkan tragedi itu berlaku kerana kotak hitam masih memiliki petunjuk penting kehilangan pesawat berkenaan.

Bahagian lain bangkai boleh diangkut ke permukaan jika diperlukan untuk membantu merungkai misteri itu. – Agensi

The post Persekitaran ekstrem tunggu pencari bangkai pesawat MH370 appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian