Rejim Al-Sisi klasifikasikan 16 pemimpin pembangkang parti politik sebagai pengganas

KAHERAH, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Rejim Abdel Fattah Al-Sisi memasukkan 16 pemimpin politik Mesir dalam senarai baharu mereka yang dikategorikan sebagai pengganas, lapor agensi berita Mesir, MENA.

Penyenaraian nama mereka dibuat selepas pihak pendakwa Mesir menuduh kononnya pemimpin politik terbabit menyertai atau mengadakan hubungan dengan pertubuhan yang diharamkan dan cuba mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negara.

Mengikut undang-undang rejim Al-Sisi, antara tindakan yang boleh dikenakan terhadap individu yang diletakkan dalam senarai pengganas ialah penahanan, pembekuan aset, diharamkan daripada keluar negara dan diberi hak untuk mengemukakan rayuan dalam tempoh 60 hari.

Laporan itu tidak menyatakan nama pertubuhan yang diharamkan dan tidak menyenaraikan siapa pemimpin politik terbabit, tetapi seorang daripadanya ialah bekas calon Pilihan Raya Presiden Mesir 2018, Abdel Moneim Abul Fotouh.

Abdel Moneim dimasukkan ke dalam senarai pengganas, selepas ditangkap atas tuduhan mempunyai hubungan dengan Ikhwanul Muslimin.

Bekas ahli Ikhwanul Muslimin itu yang mengetuai Strong Egypt Party, ditangkap minggu lalu sekembalinya dari London, di mana beliau membuat kenyataan mengkritik Al-Sisi berhubung Pilihan Raya Presiden Mesir 2018 yang bakal diadakan bulan depan.

Kementerian Dalam Negeri Mesir mendakwa kononnya ketika di London, Abdel Moneim mengadakan pertemuan sulit dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin untuk melaksanakan rancangan bagi mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan dalam negara.

Peguam Abdelrahman Haridy berkata, beliau tidak dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah Mesir memasukkan nama anak guamnya itu ke dalam senarai pengganas.

“Adalah jelas terdapat desakan terhadap tuduhan dikenakan kepada tokoh tertentu bertujuan menakut-nakutkan semua ahli politik, walaupun hanya untuk meluahkan pendapat mereka,” katanya.

Dalam satu temu bual bersama stesen televisyen Al Jazeera baru-baru ini, Abdel Moneim mengutuk tindakan rejim Al-Sisi menangkap pemimpin pembangkang terkenal dan menyifatkan pilihan raya presiden akan datang tidak telus dan tidak demokratik.

Kedudukan Al-Sisi bagi jawatan presiden untuk penggal kedua hampir terjamin menjelang pengundian pada 26 dan 28 Mac ini, selepas beberapa calon terkenal menarik diri selepas ditangkap, diugut serta diancam.

Abdel Moneim adalah antara pemimpin politik terawal yang menggesa rakyat Mesir memboikot pilihan raya itu.

Minggu lalu, dalam temu bual dengan Al Jazeera Mubasher – rangkaian Al Jazeera berpangkalan di Qatar yang diharamkan Mesir – beliau mengkritik Al-Sisi dalam istilah yang tidak pernah digunakan dengan menuduh Presiden Mesir itu menarik tentera ke dalam politik, gagal membendung serangan maut militan Islam dan salah mengelolakan ekonomi negara.

“Memboikot sesuatu yang hina ini adalah satu kewajipan, kerana kami tidak mahu rakyat Mesir mengambil bahagian dalam sandiwara ini (pilihan raya).

“Saya tidak mahu mendaftarkan diri sebagai calon kerana tiada pilihan raya sebenar yang berlaku. Tiada calon sebenar, kecuali presiden sekarang. Di mana pembangkang?

“Walaupun, mereka memberi masa tambahan lima minit untuk pembangkang mendaftar sebagai calon, dia sebenarnya adalah penyokong Al-Sisi. Jadi, tiada pembangkang yang tulen. Oleh itu, ini bukannya pilihan raya yang tulen,” katanya.

Abdel Moneim yang juga seorang doktor berusia 66 tahun meninggalkan Ikhwanul Muslimin pada 2011 selepas perselisihan faham mengenai peranan agama dalam politik dan kemudian menubuhkan parti sendiri pada 2012, serta menyertai pilihan raya presiden kemudian.

Rejim Al-Sisi mengharamkan dan mengisytiharkan Ikhwanul Muslimin sebagai pertubuhan pengganas selepas dia merampas kuasa daripada presiden yang dipilih secara demokrasi, Mohamed Morsi yang juga pemimpin Ikhwanul Muslimin. – Agensi

The post Rejim Al-Sisi klasifikasikan 16 pemimpin pembangkang parti politik sebagai pengganas appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian