SOLAT SUBUH BERJAMAAH NADI KEKUATAN UMMAH
Bumi Palestin di mana terletaknya Masjid Al-Aqsa merupakan tanah suci umat Islam dahulu, kini dan selamanya. Namun sayangnya hari ini bumi ini masih di tangan Yahudi Zionis laknatullah. Tanah suci ini merupakan maruah kita, seluruh umat Islam. Ini adalah cabaran dan perjuangan umat Islam hari ini, yang mana setiap generasi dan zaman ada sahaja perjuangan dan cabaran yang telah ditentukan oleh Allah SWT untuknya.
Manusia diciptakan oleh Allah dengan tujuan yang sangat mulia. Manusia adalah makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna dengan tujuan tidak lain hanyalah untuk menyembah dan mengabdikan diri kepada-Nya. Allah menganugerahkan manusia dengan akal fikiran untuk melaksanakan segala amanah dan tuntutan ini. Rasulullah SAW bangkit meneruskan perjuangan rasul-rasul terdahulu membawa agama ini bermula dengan seorang diri dan perjuangan menegakkan risalah agung ini disambut oleh para sahabat baginda. Sirah agung Rasulullah SAW merakamkan susah payah baginda dan sahabat di pulau, dihalau, dicaci, dikeji dan akhirnya terpaksa menempuh dan melalui siri-siri peperangan demi menegakkan agama yang mulia ini. Perjuangan ini sambung-menyambung sehinggalah melahirkan generasi yang pernah berjaya membebaskan bumi Al-Aqsa’. Kini kita ditakdirkan hidup pada zaman ini, di akhir zaman di mana umat Islam cukup lemah.
Kini timbul persoalan, masihkah ada harapan untuk kita melaksanakan tuntutan perjuangan yang cukup besar dan mencabar ini? Persoalan sebegini timbul kerana usahkan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, umat Islam di Arakan Rohingya, Selatan Thailand yang dekat agak dekat dengan kita pun tidak mampu untuk kita bantu. Banyak keadaan pada masa kini menunjukkan mereka yang kuat dan bersenjata akan terus menguasai dan yang lemah akan tertindas. Umat Islam hari ini berada di bawah, emparalisme barat dan timur dengan rakus menjajah dan menjarah tanah umat Islam.
Apakah kaitan antara ibadah yang kita lakukan hari ini dengan perjuangan membebaskan tanah suci umat ini? Sebenarnya umat Islam ada kekuatan tersendiri, iaitu kekuatan manusia yang beriman kepada Allah SWT. Manusia akan menjadi kuat kerana ada kehendak dan akal untuk berfikir bagi mencapai kehendaknya dengan bersungguh-sungguh. Islam mengajar dan mentarbiyyah kita melalui ibadah untuk kita menjadi kuat.
Contohnya apa yang berlaku di bumi Palestin melalui seorang tokoh pejuangnya, almarhum Syeikh Ahmad Yassin atau nama sebenarnya Syeikh Ahmed Ismail Hassan Yassin. Beliau lahir pada tahun 1938, di sebuah kampung bernama al-Jaurah, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon). Dia hidup di desa yang indah berdekatan dengan pantai, di sekelilingnya banyak tanaman seperti buah tin, anggur, zaitun dan sebagainya. Dia dibesarkan di sana sehingga tahun 1948. Beliau ditakdirkan menyaksikan pengganas Yahudi menjajah dan merampas hampir keseluruhan bumi Palestin sejak dari kecil. Pada tahun 1948 beliau dan keluarganya sendiri dipaksa berpindah ke kawasan Ramallah Semenanjung Gaza setelah sekolah dan kampung halamannya dihancurkan oleh Israel.
Semasa membesar di Gaza, beliau gemar membaca buku dan sangat cerdas akalnya. Beliau mengenal dakwah Ikhwan Muslimin melalui para sukrelawan yang berjuang di Palestin. Beliau merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajarannya dan amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Ketika berumur 16 tahun telah ditimpa kemalangan, di mana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah dan bermain bersama temannya di tepi pantai yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh kerana kerosakan teruk pada sarafnya.
Keadaannya yang lumpuh, tidak mengahalang beliau untuk cemerlang dalam pelajaran dan dilantik menjadi guru. Di bumi Gaza beliau berperanan sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di masjid Gaza. Beliau terkenal sebagai khatib yang mampu menyentuh manusia melalui khutbah-khutbah yang disampaikannya. Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai sukarelawan dan pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan Islam. Dari usia muda hinggalah berusia tua beliau bergerak aktif sebagai aktivis Islam mentarbiyyah dan menggerakkan pemuda-pemuda Palestin untuk meneruskan perjuangan Islam dan jihad di sana.
Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai al-Mujahidun al-Filastiniyun pada tahun 1982. Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memilki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan.
Melihatkan kepada situasi negara Arab waktu itu, yang tidak lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin meraikan rejim Zionis Sheikh Ahmad Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai , Haraqah Muqawamah Islamiyah (HAMAS) pada tahun 1987. HAMAS telah memulakan corak penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini adalah para pemuda yang dididik di masjid-masjid. Mereka merupakan pemuda-pemuda yang juga dikenali dengan nama Atfal Hijarah (Kanak- kanak Batu) kerana menggunakan batu sebagai senjata untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai Intifadah.
Pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Pada tahun 1989, beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan. Beliau sendiri dipenjarakan di penjara tentera selama 15 tahun. Selama penahanan tersebut beliau telah mengalami penyiksaan yang dasyat sehingga lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masaalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-paru dan perutnya. Pada hari Rabu 1 Oktober 1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Syeikh Ahmad Yassin sekali lagi berjaya dibebaskan dari tahanan penjara Israel.
Umur Syeikh Ahmad Yassin dihabiskan untuk dakwah dan jihad. Cara fikir dan lidahnya sangat digeruni oleh musuh Islam, Yahudi Zionis. Sejurus pembebasannya Syeikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis.
Antara pesanan Syeikh Ahmad Yassin yang menghidupkan hati-hati pemuda ialah, “Rahsia hidup manusia terletak pada kemahuan dan prinsip yang dianut selama hidupnya. Seorang materialistik akan berkata, “Jika dunia terlepas dari tanganku, maka rugilah aku segalanya”. Akan tetapi seorang mukmin yang akan berangkat menuju syurga yang luasnya seluas langit dan bumi itu akan berpindah dari dunia ke ketenangan di sisi Rabb-Nya. Dia menunggu-nunggu hari pertemuan itu dan berperang demi meraih kemenangan hari ini”.
Nyawa beliau setiap saat sering diancam oleh muncung-muncung tentera Zionis. Namun ia tidak menghalangnya untuk tetap tenang dan istiqamah menunaikan solat wajib di masjid. Menurut isterinya, Hajjah Ummu Muhammad, pada hari-hari terakhirnya sebelum syahid beliau sempat mengungkapkan kata-kata di hadapan sebahagian anaknya. “Saya punya firasat akan segera mendapatkan kesyahidan dan memang itulah yang saya minta. Saya hanya mencari akhirat, bukan dunia”, kata beliau.
Pada 6 Jun 2003 sebuah helikopter Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Syeikh Ahmad Yassin, ketika serangan itu beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Namun 22 Mac 2004, Yahudi Zionis sekali lagi menyerang Syeikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Syeikh yang lumpuh itu telah berjaya mengorbankan Syeikh Ahmad Yassin dan empat yang lainnya.
Keimanan yang tinggi kepada Allah SWT dan kegigihan beliau menghidupkan masjid sehingga roh jihad ditiup kepada pemuda Palestin merupakan sumber kekuatan beliau yang harus dicontohi oleh kita, generasi hari ini.
Antara mutiara nasihatnya buat para pemuda, “tibalah saat kalian harus kembali dan bertaubat kepada Allah. Tibalah saatnya kalian meninggalkan segala teriakan kekesalan dalam hidup kalian dan gigihlah. Tibalah masanya untuk kalian membangunkan diri kalian lalu melaksanakan solat Subuh berjamaah. Tibalah saatnya kalian belajar membangun kecergasan dan kreativiti mendahului orang lain. Tibalah saatnya kalian memperlihatkan akhlak yang mulia dan mengamalkan segala isi kandungan al-quran dan mengikuti teladan sunnah Nabi SAW”
Masjid adalah sumber kekuatan umat ini. Islam diperkuatkan oleh generasi pemuda yang memenuhi masjid. Buktinya Intifada di Palestin yang digerakkan oleh Syeikh Ahmad Yassin, individu yang cacat fizikal tapi punya akal yang cerdas, mempunyai kekuatan kehendak dan keazaman yang kuat. Solat subuh berjamaah di masjid adalah latihan yang mendidik kita untuk menjadi muslim yang kuat kehendaknya. Jika tiada kehendak yang kuat masakan seseorang muslim boleh bangkit di keheningan subuh melangkah menuju ke rumah Allah untuk menunaikan tuntutan solat berjamaah.
Sesungguhnya solat Subuh berjamaah adalah identiti seorang muslim, sumber kekuatan umat Islam. Marilah kita membina kembali kekuatan rohani umat Islam hari ini dengan penuh keinsafan, kesedaran dan kesungguhan
Kaslawati Binti Kassim
Penolong Setiausaha
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seremban
**Catatan ini berdasarkan isi ceramah Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman sempena Program Kempen Solat Subuh Berjamaah Bebaskan Al-Aqsa’ di Masjid Kariah Panchor Jaya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan