SPRM cadang wujudkan indeks rasuah khas negara

KUALA LUMPUR, 6 Jamadilakhir 1439H, Khamis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bercadang untuk mewujudkan indeks rasuah khas yang lebih berkesan bagi menganalisis prestasi dan situasi rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kertas kerja bagi cadangan tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah akan datang, sebelum ia dikemukakan kepada mesyuarat jemaah menteri.

Katanya, sekiranya cadangan itu diluluskan, kajian tersebut akan dilaksanakan oleh badan bebas termasuk pakar akademik bagi memastikan ketelusan indeks berkenaan.

“Sudah sampai masanya untuk kita adakan indeks sendiri yang lebih berkesan. Kita tidak mahu melihat dari sudut persepsi semata-mata tetapi juga dari sudut realiti.

“Beri SPRM sedikit masa, mungkin dalam tempoh dua hingga tiga bulan sebelum dibawa kepada pihak atasan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Penasihat Pencegah Rasuah di sini hari ini.

Dzulkifli berkata, indeks khas berkenaan penting bagi meninjau dan mengkaji realiti jenayah rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di negara ini melalui kaca mata rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata, SPRM telah menubuhkan jawatankuasa khas hari ini bagi meneliti indeks persepsi rasuah antarabangsa yang dikeluarkan oleh Transparency International.

Beliau berkata, jawatankuasa itu bertujuan mengkaji hasil indeks rasuah negara yang dikeluarkan pihak berkenaan berikutan kedudukan terkini Malaysia dalam skor Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa menurun dua mata daripada 49 kepada 47.

“Memandangkan CPI (Indeks Persepsi Rasuah) yang ada sekarang ini merupakan persepsi atau kajian yang dibuat ekspatriat asing tentang kedudukan rasuah di Malaysia dan tidak menggambarkan realiti sebenar yang berlaku. Namun, kita tidak menolak indeks tersebut dan kita akan membuat penelitian,” jelasnya.

Dzulkifli berkata, kedudukan terbaharu itu tidak mencerminkan usaha agresif SPRM dalam memerangi rasuah sejak tahun lepas berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“SPRM terkejut dengan dapatan yang dibuat oleh Transparency International kerana ianya tidak selaras dengan realiti tindakan, penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan agresif yang kita laksanakan pada 2017,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Penasihat SPRM, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim buat kali terakhir mempengerusikan mesyuarat berkenaan berikutan tempoh perkhidmatan beliau tamat secara rasmi hari ini.- Bernama

The post SPRM cadang wujudkan indeks rasuah khas negara appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian