Syor Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak dikaji semula

Oleh Athirah Huda Zalhe

KUALA LUMPUR, 21 Jamadilawal 1439H, Rabu – Timbalan Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya mengkaji semula Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004, yang menjadi fokus Mahkamah Persekutuan ketika membuat keputusan kes tiga kanak-kanak memeluk Islam, baru-baru ini.

Beliau juga akan menyarankan supaya satu mesyuarat diadakan bersama Majlis Agama Islam Perak, Mahkamah Syariah, Jabatan Agama Islam Perak dan Jabatan Mufti Negeri, bagi membincangkan perkara itu.

“Perbincangan itu akan melihat semua undang-undang yang ada, serta kelompongan, khususnya Seksyen 96 dan Seksyen 106 yang menjadi fokus utama Mahkamah Persekutuan untuk melihat kemungkinan ada sebarang kelemahan.

“Dan, kita akan memperbaiki lah dalam perbincangan itu. Itu antara peringkat jangka pendek yang terdekat untuk Perak memperbaiki keadaan yang ada,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Sidang Meja Bulat UMMAH: Kesan Kes Indira Gandhi Ke Atas Perundangan di sini, hari ini.


Cadangan beliau itu susulan keputusan penghakiman Mahkamah Persekutuan baru-baru ini yang membenarkan rayuan untuk membatalkan penukaran agama tiga anak Muhammad Ridhuan Abdullah kepada Islam.

Menerusi 99 mukasurat penghakiman yang dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zainun Ali, mahkamah memutuskan persetujuan kedua-dua ibu bapa adalah perlu untuk penukaran agama anak sebelum Sijil Perakuan Memeluk Islam dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf.

Penghakiman mendapati bahawa Pendaftar Mualaf tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan sijil penukaran agama kanak-kanak kepada Islam kerana tidak mematuhi Seksyen 96 (1) dan 106 (b) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004.

Seksyen 96 (Kehendak-kehendak bagi pemelukan agama Islam) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004, menyatakan:

(1) Kehendak-kehendak yang berikut hendaklah dipatuhi bagi pemelukan sah agama Islam oleh seseorang:

(a) orang itu mestilah mengucapkan dua kalimah Syahadah dalam bahsa Arab secara yang semunasabahnya jelas;

(b) pada masa dia mengucap dua kalimah Syahadah itu, orang itu mestilah sedar bahawa kalimah itu bermakna “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allh dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad S.A.W. ialah Pesuruh Allah”; dan

(c) pengucapan itu mestilah dibuat dengan kerelaam hati orang itu sendiri.

(2) Seseorang yang tidak dapat bercakap boleh, bagi maksud memenuhi kehendak perenggan (1)(a), mengucapkan dua kalimah Syahadah dengan menggunakan isyarat yang menunjukkan makna yang dinyatakan dalam perenggan (1)(b).

Sementara, Seksyen 106 (Keupayaan untuk memeluk agama Islam) pula menyatakan:

Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal dan—

(a) sudah mencapai umur lapan belas tahun; atau

(b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan secara bertulis pemelukan agama Islam olehnya.

The post Syor Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak dikaji semula appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian