ismakualaterengganu

Wanita dipenjara buka klinik gigi tanpa lesen, pasang pendakap

KUALA LUMPUR, 7 Jamadilakhir 1439H, Jumaat – Seorang peniaga kosmetik dalam talian dihukum penjara 24 bulan dan didenda RM100,000 oleh Mah...

KUALA LUMPUR, 7 Jamadilakhir 1439H, Jumaat – Seorang peniaga kosmetik dalam talian dihukum penjara 24 bulan dan didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas didapati bersalah menjalankan perusahaan pergigian tanpa lesen dengan melakukan prosedur pemasangan pendakap gigi.

Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Fatin Nabilah Mohamad Hassan, 26, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah memerintahkan Fatin Nabilah, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh dia melapor diri di penjara, dan penjara 12 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah juga menolak permohonan peguam Khairul Amin Abdullah yang mewakili Fatin Nabilah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan memerintahkan OKS membayar denda itu dengan segera.

Khairul Amin memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir kerana sedang menjalani rawatan akupuntur di Hospital Melaka kerana mengalami ‘slipped disk’ dua minggu lepas.

Bagaimanapun, prosiding hari ini tetap diteruskan memandangkan mahkamah telah memberikan tempoh masa yang mencukupi iaitu lebih dua minggu kepada Fatin Nabilah untuk menguruskan kesihatannya.

Hakim Harmi Thamri berkata, kesalahan yang dilakukan OKS adalah serius dan perlu dipandang berat oleh semua pihak kerana ia memberi kesan terhadap kesihatan dan keselamatan kepada orang awam.

“Orang awam juga perlu tampil memberi maklumat kepada Kementerian Kesihatan sekiranya mempunyai pengetahuan mengenai mana-mana individu yang tidak berdaftar yang menjalankan prosedur pemasangan pendakap gigi,” katanya.

Fatin Nabilah didakwa menyediakan klinik pergigian swasta tanpa didaftarkan mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 di sebuah bilik hotel di Jalan Metro Pudu 2, Fraser Business Park, Kuala Lumpur pada 12.10 tengah hari 11 Disember 2015.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut subseksyen 4(1) akta itu dan boleh dihukum mengikut subperenggan 5(1)(a)(i) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM300,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan, Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman yang maksimum kerana kesalahan itu serius dan melibatkan kesihatan dan keselamatan orang awam.

“Kes-kes berhubung pemasangan pendakap gigi palsu semakin menjadi perhatian bukan sahaja disiarkan di televisyen malah mendapat liputan akhbar-akhbar tempatan.

“Selain itu, mahkamah perlu mengambil kira perkhidmatan yang ditawarkan oleh OKS yang menyediakan prosedur rawatan gigi secara tidak sah dan dijalankan di premis tidak berdaftar sebagai klinik gigi,” katanya sambil meminta mahkamah mengambil kira kelakuan OKS yang tidak menghormati perintah mahkamah.

Beliau berkata, OKS telah gagal mengemukakan sijil cuti sakit daripada klinik kesihatan kerajaan dan tidak pernah mengemukakan surat daripada doktor hospital kerajaan yang mengesahkan bahawa dia tidak boleh datang ke mahkamah kerana faktor kesihatan.

Khairul Amin pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan kerana ia adalah kesalahan pertama anak guamnya, selain dia berasal daripada keluarga yang sederhana dan merupakan anak yang bertanggungjawab kepada keluarga.

Sebanyak sembilan saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang tempoh perbicaraan itu, yang bermula pada Mei 2016. – Bernama

The post Wanita dipenjara buka klinik gigi tanpa lesen, pasang pendakap appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Related

TERKINI 5790429122111464861

Catat Ulasan Disqus Comments

JARINGAN

FACEBOOK

TOTAL PAGEVIEWS

item