Warga Filipina terlibat latihan ala tentera antara 11 individu ditahan

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Seorang lelaki warga Filipina yang dipercayai pernah terlibat dalam beberapa siri latihan ala tentera di salah sebuah kem di selatan Filipina, antara 11 individu yang ditahan di Sabah dan Singapura kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, lelaki itu ditahan di Sandakan, Sabah bersama empat individu lain masing-masing dua warga tempatan dan Filipina dalam tangkapan yang dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman pada 25 dan 26 Januari lepas.

Menurutnya, lelaki berusia 39 tahun itu pernah berbai’ah taat setia di hadapan pemimpin kanan kumpulan pengganas di selatan Filipina pada 2000.

“Suspek juga menerima arahan daripada seorang pemimpin kanan kumpulan pengganas Daesh di selatan Filipina untuk menguruskan kemasukan beberapa anggota pengganas Daesh dari Sandakan ke negara itu untuk menyertai kumpulan pengganas di Zamboanga, selatan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, empat lagi suspek berusia antara 33 hingga 50 tahun yang ditahan bertanggungjawab dalam membantu suspek pertama dalam menguruskan kemasukkan anggota pengganas asing ke selatan Filipina dengan menjadikan Sandakan sebagai transit.

Menurutnya, dua daripada lima suspek berkenaan bekerja sebagai buruh manakala seorang pengurup wang tidak berlesen, seorang pemandu bot penumpang dan penganggur.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata tiga lelaki warga Filipina dan seorang wanita tempatan ditahan di Penampang, Sabah pada 4 Februari lepas.

“Kesemua suspek berusia antara 27 hingga 32 tahun dan bekerja sebagai tukang kebun, buruh, pegawai keselamatan sebuah syarikat swasta dan seorang penganggur,” katanya.

Menurutnya, suspek lelaki yang berusia 27 tahun merupakan anggota kanan kepada pemimpin Abu Sayyaf Group (ASG) yang berpangkalan di Basilan, selatan Filipina.

Manakala, seorang lagi suspek lelaki berusia 32 tahun dipercayai terlibat mengatur kemasukan seorang warga asing ke selatan Filipina bagi menyertai kumpulan pengganas Daesh, katanya.

Susulan itu, pada 6 Februari lepas satu operasi telah dilancarkan di Sandakan, Sabah dan membawa penahanan kepada seorang lelaki warga Filipina yang mempunyai taraf pemastautin tetap Malaysia, suspek bekerja sebagai pemandu teksi dan berusia 49 tahun.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada 10 suspek yang telah ditangkap itu, mereka mendedahkan cubaan kumpulan pengganas ASG untuk menubuhkan sel di Sabah, ia sebagai persiapan untuk mengatur penyusupan masuk anasir-anasir perjuangan Daesh dari rantau Asia Tenggara bagi tujuan menjalani latihan ketenteraan di selatan Filipina.

Sementara itu, beliau berkata seorang pemandu lori warga tempatan telah ditahan pihak berkuasa Singapura kerana disyaki merancang untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria pada 18 Januari lepas.

Suspek lelaki berusia 34 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu kemudiannya diserahkan kepada Bahagian E8(M) Cawangan Khas di Johor Bharu, Johor pada 2 Februari lalu untuk siasatan lanjut, katanya.

“Kesemua suspek yang ditangkap disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747),” katanya.- Bernama

The post Warga Filipina terlibat latihan ala tentera antara 11 individu ditahan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian