Timbalan Mufti Perak cadang pertingkat kempen kesedaran tolak LGBT

IPOH, 10 Julai – Mengulas mengenai kenyataan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkaitan isu golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di Malaysia, SS Ustaz Zamri Hashim yang merupakan Timbalan Mufti Perak berkata, beliau menyokong pandangan bahawa LGBT adalah satu dosa sama ada dilakukan secara terang-terangan mahupun sembunyi.

Namun begitu, beliau menegaskan sebagai sebuah negara yang majoriti rakyatnya adalah Muslim, kita tidak patut merasa senang dengan perkembangan budaya LGBT ini di Malaysia.

Ujarnya, “LGBT adalah haram di sisi Islam. Sebagai sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, Malaysia tidak seharusnya menandatangani mana-mana deklarasi antarabangsa yang cuba menghalalkan perbuatan berdosa ini”.

Zamri menambah, pihak kerajaan perlu didesak supaya tidak memberi ruang kepada pejuang-pejuang LGBT mempromosi dan bermegah-megah dengan aktiviti mereka seperti yang berlaku sekarang. Menurut beliau, golongan LGBT kini dilihat semakin berani muncul di media massa, mahupun dalam bentuk penulisan, demonstrasi awam, dan lain-lain aktiviti lagi.

“Kita perlu memperhebatkan lagi kempen kesedaran kepada masyarakat Islam dan juga bukan Islam ke arah membenci perbuatan LGBT ini”.

Ditanya mengenai usaha projek dialog bersama golongan LGBT, Zamri menjawab bahawa usaha itu adalah baik, tetapi perlu kepada pendekatan yang berbeza terhadap mereka yang terjebak dan mahu kembali ke pangkal jalan, dengan mereka yang bersungguh-sungguh mempromosi secara tegar perbuatan haram ini.

Dalam kenyataan Mujahid tempoh hari, beliau berpendapat mana-mana warganegara tidak kira sama ada mereka adalah LGBT atau bukan, sekiranya tidak melakukan jenayah, pihaknya tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang. Beliau yang juga merupakan Menteri Agama baharu berkata akan meneruskan dialog bersama golongan tersebut dalam usaha memahamkan mereka tentang isu ini yang bercanggah dengan Islam.

 

Oleh: Nor Liyana binti Mohamad Rosly, Biro Komunikasi dan Multimedia ISMA Ipoh

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian