Sambutan Hari Keluarga Isma Kuala Lumpur meriah
BAGAN LALANG, 1 Okt – Hari Keluarga Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuala Lumpur telah diadakan di Pantai Bagan Lalang semalam dengan kehadiran seramai 179 orang ahli yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.
Pelbagai acara diadakan antaranya ialah tarik tali, polo air, gusti air, acara keluarga, acara berpasangan dan sukaneka. Paling mencuit hati apabila dapat melihat gelagat anak-anak dari umur 1 tahun hingga 12 tahun menyertai pelbagai acara yang disediakan seperti kutip bola, baling belon air dan sebagainya.
Selain itu, ahli NAZIM dan Kelab Remaja Isma (KRIM) juga turut terlibat memeriahkan hari keluarga pada kali ini.
Pengarah program, Encik Ahmad Hisyam Sabrani berkata, sambutan Hari Keluarga pada kali ini sangat menggalakkan dengan penyertaan yang lebih ramai dari tahun-tahun sebelum ini.
“Hari keluarga sebagai medan merapatkan ukhuwwah dan medan bersantai sesama ahli setelah berpenat lelah menjayakan pelbagai program agensi masing2 sepanjang tahun.
Saya dapat merasakan semua peserta yang hadir merasa sangat bertuah dapat berada dalam sebuah keluarga besar Isma KL yang datang dari pelbagai latar belakang, rentas generasi, yang saling bantu membantu dan tidak mementingkan diri sendiri,” katanya lagi.
Buat pertama kali ini hari keluarga ini dianjurkan di kawasan berpantai, para peserta berpeluang untuk bersantai dan bermandi-manda bersama ahli keluarga dan yang paling teruja adalah anak-anak yang begitu gembira dapat merasai kedinginan air laut. Ternyata, Hari keluarga pada kali ini memberi suatu pengalaman yang indah buat semua ahli-ahli Isma Kuala Lumpur. Tahniah diucapkan kepada Biro Keluarga dan Masyarakat atas penganjuran program yang begitu bermakna ini.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan