Ruai Ikhlas Sarawak Pertingkat Kemahiran Muallaf
Oleh: Mohammed Rasheedan b Ellin
Kota Samarahan, 16 Feb – Seramai 20 orang muallaf sekitar Kota Samarahan telah turut serta dalam program peningkatan kemahiran menyediakan pemanis mulut “Brownies versus Cupcake” anjuran Ruai Ikhlas Sarawak.
Program yang telah dianjurkan di Surau al-Hidayah, Kampung Plaie, Samarahan telah mengundang pakar pemanis mulut, Puan Natasya Marliana untuk berkongsi resipi pemanis mulut kegemaran ramai tersebut.
“Kami sangat berharap program sebegini rupa dapat diadakan lagi, kami seronok belajar ilmu peningkatan kemahiran untuk membantu meningkatkan taraf hidup kami” ujar Puan Nurul, salah seorang peserta.
Ruai Ikhlas Sarawak yang ditubuhkan pada Januari 2018 adalah sebuah organisasi sokongan bukan kerajaan yang komited untuk membimbing dan menyokong kehidupan para mullaf supaya mereka dapat menjalankan kehidupan sebagai seorang Islam, sama seperti orang Islam yang lain. Baik dari segi kualiti pendidikan agamanya, sosialnya, mahupun aktiviti ekonominya.
“Kita tidak mahu disebabkan tiada bimbingan yang sewajarnya, yang menjadi tanggungjawab agensi dan individu Muslim, para muallaf terbiar tanpa panduan dan akhirnya kembali ke zaman jahilnya” tambah Ketua Operasi Ruai Ikhlas Sarawak, Saudara Rasheedan Ellin.
Program ini turut berkongsi tips penjagaan kesihatan melalui slot Ceramah Kesihatan I-Medik yang disampaikan oleh Dr Asmah Esa.
Selain daripada kelas memasak, Ruai Ikhlas Sarawak fokus kepada kelas-kelas bimbingan agama yang kini telah ada di serata negeri Sarawak. Sesiapa yang ingin tahu lebih lanjut mengenai Ruai Ikhlas Sarawak boleh berhubung dengan Saudara Rasheedan di talian 016-6007365.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan