Isma Kuantan sasar lebih banyak sumbangan kepada masyarakat setempat

Oleh Shuhaimi Shaedon

KUANTAN, 30 Sept. – “Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berhasrat untuk menyumbangkan sebanyak mungkin kepakaran yang dimiliki oleh ahli-ahlinya kepada komuniti dan masyarakat di semua peringkat umur melalui penganjuran Karnival Keluarga Mukmin (KKM) yang diadakan secara berkala bermula tahun ini,” ujarnya.

Menurut Yang Dipertua (YDP) Isma Cawangan Kuantan, Ustaz Norman Mohd Nor, dengan cara ini, secara tidak langsung masyarakat boleh mengenali Isma secara lebih dekat dan seterusnya membina potensi dan jatidiri Muslim di dalam diri mereka melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan.

“Isma juga sentiasa merancang program-program yang bermanfaat kepada masyarakat Kuantan dalam konteks melaksanakan kerja-kerja amal makruf nahi mungkar melalui agensi-agensi dan biro-biro yang bernaung di bawahnya,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup KKM 2019 anjuran Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM) Isma Kuantan di Masjid Saidina Othman Ibn Affan di sini baru-baru ini.

Ustaz Norman pada masa yang sama turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak masjid atas kerjasama yang dijalankan termasuklah semua yang terlibat iaitu pengadil jemputan, penggerai dan juga pihak luar yang juga turut serta di dalam menjayakan karnival pada kali ini.

Beliau juga turut mempromosikan pendaftaran keahlian baru Isma kepada semua hadirin yang hadir bagi mendapat banyak kelebihan yang terdapat dalam pertubuhan Isma.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Saidina Othman Ibn Affan, Tn Hj Mohd Azmi Othman, melalui ucapan aluan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Isma Kuantan kerana menterjermahkan program bercorak agama dan kemasyarakatan bersama penduduk setempat.

“Saya lihat karnival ini menyediakan banyak aktiviti-aktiviti yang menarik dan sesuai untuk semua peringkat umur serta merapatkan lagi hubungan antara masyarakat di sekitar perumahan Bukit Rangin dan Permatang Badak ini dengan ahli Isma.

“Program-program sebegini amat bagus dan amat bermakna bagi saya kerana ia dapat memakmurkan lagi masjid dalam menjalankan fungsinya sebagai tempat tumpuan ahli qariah dan masyarakat sekitarnya untuk menambah ilmu pengetahuan,” ujarnya.

Beliau juga turut mengalu-alukan semua pihak untuk menjalankan kerjasama dengan pihak masjid selaras dengan tema dan konsep masjid iaitu ‘Ukhwah, Dakwah dan Tarbiyah’.

“Saya juga amat berbesar hati kerana program hari ini juga turut disertai oleh para asatizah dan barisan doktor pakar dari Isma melalui ceramah keibubapaan, pameran dan sebagainya.

“Ceramah yang diadakan juga dapat membuka minda ibu-bapa untuk melihat perkembangan anak-anak mereka secara lebih fokus serta menekankan proses tarbiyah terutama kepada para remaja supaya berubah dari mementingkan emosi kepada lebih mementingkan rasional dalam setiap tindakan mereka,” tambah beliau lagi.

Beliau juga turut mengajak seluruh masyarakat supaya beramai-ramai hadir ke masjid dan menyertai program-program yang dijalankan pada setiap hari termasuk program khas Isma iaitu Kuliah Hadits Tsulasa yang membariskan seramai empat asatizah Isma dalam membincangkan banyak perkara berkenaan cara hidup Islam dan sebagainya.

KKM 2019 kali ini turut dianjurkan bersama biro-biro dan agensi lain di bawah Isma termasuk Kelab Remaja Isma (KRIM), Kelab Anak-Anak Hebat (Nazim), Wanita Isma serta Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik).

Turut hadir adalah Ketua Perhubungan Isma Pahang, iaitu Ustaz Rushdan Abd Halim bersama-sama barisan ahli jawatankuasa Isma Kuantan yang lain.

Setiap biro dan agensi telah menjalankan aktiviti masing-masing sesuai dengan target umur peserta seperti Pertandingan Gubahan Bunga dan Masakan Kuih Tradisional Pahang oleh Wanita Isma Kuantan, Perlawanan Futsal, Bola Jaring dan Bola Tampar oleh KRIM, Pertandingan Mewarna dan Sukan Tradisional Kanak-kanak seperti tarik tali, tarik upih, bowling kelapa dan sebagainya oleh Kelab Nazim, Ceramah Keibubapaan bertajuk “Fahami Psikologi Remajamu” oleh BKM serta pameran kesihatan oleh I-Medik.

Antara aktiviti lain yang turut diadakan adalah Pemeriksaan Kesihatan Percuma oleh Klinik As-Salam, Canting Batik, Petting Zoo, pameran dan juga gerai jualan.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian