Wanita Tunggak Kesejahteraan Negara dan Masyarakat
Oleh : Nursyazana Jamaludin
BANDAR DATO ONN, 2 Safar 1441 – Seminar Wanita Islam (SERWANIS) anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Johor Bahru telah berjaya menghimpunkan lebih daripada 200 orang peserta di Malaysian College of Hospitality and Management (MCHM), Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru pada Sabtu lepas.
Ustazah Suriani binti Sudi, Ketua Wanita ISMA ketika ucaptama memberi penjelasan mengenai slogan Wanita ISMA yang terkini iaitu Perjuangan Bermula Dari Rumah.”Wanita itu tunggak keluarga di rumah. Masyarakat yang baik bermula dari rumah yang baik. Jadi kita mesti memperbaiki rumah dahulu baru boleh memperbaiki masyarakat di luar sana”.
Beliau juga menekankan tentang keperluan para wanita untuk mempunyai masa yang khusus untuk menuntut ilmu melalui program-program dan seminar-seminar pembinaan jati diri wanita. “Gunakanlah waktu malam pula untuk bermunajat dengan Allah sebagai ‘me-time’ yang berharga”.
SERWANIS turut mengupas tajuk ‘Di Mana Bahagia Seorang Wanita’ dan ‘Tenang Dalam Tekanan’ di mana banyak tips dan perkongsian pengalaman yang diperolehi para peserta daripada sesi ceramah dan forum. Selain itu, program juga diserikan dengan persembahan silat oleh ahli-ahli Kelab Anak-Anak Hebat (NAZIM JB) dan deklamasi sajak oleh adik-adik Kelab Remaja ISMA (KRIM JB). Para peserta yang bertuah juga berjaya membawa pulang hadiah-hadiah menarik daripada sesi cabutan bertuah yang diadakan.
Program ini ditutup dengan ucapan oleh Tuan Haji Mohamad Tahir bin Hamdan, Ketua Perhubungan Negeri ISMA Johor Bahru.
“Sekiranya kita telah berjaya mempertingkatkan segala amal dan sumbangan pada masyarakat maka percayalah ketenangan menjadi milik kita kerana kita telah jalankan tanggungjawab dan amanah daripada Allah”, kata Tuan Haji Mohamad Tahir bin Hamdan dalam amanatnya di akhir seminar.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan