Manfaatkan Ramadan kali ini sepenuhnya
Oleh: Ustazah Fauziah Ibrahim
Secara tidak
sedar,kita telah berada di bulan Ramadan, masa berlalu begitu pantas, setahun
yang berlalu tanpa disedari hanya sekejap sahaja. Sekiranya kita tidak
memanfaatkan masa untuk kerja yang berfaedah, pasti kita akan rugi.
Bulan Ramadan
adalan bulan yang dirindui oleh mereka yang ingin melakukan kebaikan.Ia
merupakan bulan yang dirindui oleh Rasulullah dan para sahabat serta para hamba
Allah yang soleh kerana mereka boleh menambah amalan kebajikan bagi bekalan
hari selepas kematian. Ia sentiasa dinantikan oleh orang yang beriman malahan
mereka sentiasa mendoakan seperti yang diajar oleh Rasulullah ketika berada di
bulan Rejab lagi.
Rasulullah
bersabda:
اللهم بارك لنا
في رجب وشعبان وبلغنا رمضان
Maksudnya : Ya
Allah ,berkatilah kami dibulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan
Ramadan.(alTabrani, alBaihaqi)
Doa inilah yang
diulang-ulang oleh Rasulullah apabila mendekati bulan yang mulia ini. Baginda telah
mendidik para sahabatnya mengungkapkan doa yang mulia ini bagi mendidik hati
dan jiwa mereka agar menyambut Ramadan dengan penuh kerinduan dan kecintaan.
Sebenarnya ,doa
sebelum Ramadan ini merupakan persediaan mental agar kita dapat menghadapi
bulan Ramadan ini dengan penuh penghayatan ,kesediaan dan kesedaran. Persediaan
ini dilakukan untuk menyediakan hati yang sedia untuk dididik, nafsu yang sedia
dilentur dan jiwa yang sedia dibentuk dengan acuan keimanan.
Doa ini juga
merupakan impian dan harapan bagi hamba-hamba yang menginginkan limpahan rahmat
Allah pada bulan ini. Banyak kurniaan dan limpahan rahmat namun hanya manusia yang
ada iman yang kuat sahaja nampak semua itu. Ramai yang melihat tetapi orang
yang melihat dengan mata hatinya sahaja yang akan menghargai Ramadan.
Apabila Ramadan
menjelma tiba,sepatutnya kita bertanya kepada diri kita,”Adakah kita
benar-benar gembira dengan kedatangan Ramadan ini? Adakah kita benar-benar
seronok dan teruja dengan menjelangnya
Ramadan? Atau kita gembira kerana teruja dengan kehadiran Aidilfitri pada satu
Syawal nanti?
Bersediakah kita
dengan Ramadan pada tahun ini? Orang yang bersedia dengan Ramadan boleh
dikenalpasti menerusi tuturbicaranya. Apa yang kita sering bicarakan? Sekiranya
tajuk perbicaraan kita tidak menyentuh lansung tentang persiapan diri, aktiviti
yang meningkatkan keimanan, maka kita sebenarnya masih belum bersedia lagi.
Topik perbicaaraan kita lebih berkisar tentang persediaan menghadapi hari raya,
berapa helai baju raya kita tahun ini, kita telah siap menempah baju raya untuk
keluarga mengikut warna tema dan sebagainya. Ini menunjukkan kita lebih
bersedia menghadapi satu Syawal berbanding Ramadan yang mulia.
Sesungguhnya
Ramadan bulan yang mulia, yang diturunkan di dalamnya Al-Quran. Di dalamnya
terdapat pelbagai kelebihan yang harus dikejar oleh setiap umat islam bagi
mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketakwaan.
Allah berfirman dalam Surah Al
Baqarah ayat 183:
يا أيها الذين
آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون.
Maksudnya :
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa,sebagaimana
diwajibkan ke atas mereka yang dahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa.
Apa yang penting
buat masa ini ialah membuat persediaan yang sesuai agar kita dapat mendidik
diri dengan cara yang terbaik dan akan menjulang piala taqwa di akhir bulan
Ramadan nanti.
Rebutlah ruang
dan peluang yang Allah berikan kepada kita untuk melaksanakan segala apa yang
disediakan dalam bulan Ramadan seperti berpuasa sebulan Ramadan, solat sunat
Tarawih, Qiamullail, malam Lailatul qadr dan sebagainya.
Kita janganlah
melepaskan peluang ini kerana bagi sesiapa yang terlepas peluang ini akan
mengalami kerugian yang amat besar dan belum tentu lagi kita akan dapat bersama
pada Ramadan akan datang. Terdapat sekurang-kurangnya lima persediaan penting
untuk menyambut bulan Ramadan.
Pertama:
Sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kesempatan kepada kita untuk
bertemu dengan bulan Ramadan dalam keadaan sihat sejahtera, supaya kita boleh
melakukan ibadah dengan sempurna.
Kedua : Timbulkan
rasa ghairah dan bergembira dengan kedatangan bulan Ramadan. Wujudkan suasana
ceria di dalam rumah untuk menghadapi Ramadan dengan melekatkan poster-poster
galakan ibadah dan kelebihan Ramadan di dinding dan pintu, memasang CD AlQuran
atau kita menukar langsir baru menjelangnya Ramadan berbeza dengan sebelum –sebelum ini yang dilakukan menjelang
hari raya.
Ketiga : Rancang
kegiatan yang memberikan manfaat sebesar mungkin daripada bulan Ramadan . Ini
kerana Ramadan amat singkat , hanya sebulan sahaja, maka penuhi setiap detiknya
dengan amalan yang berharga yang dapat membersihkan diri dan mendekatkan diri
kepada Allah SWT. Seterusnya sambut Ramadan dengan tekad meninggalkan dosa dan
tabiat buruk seperti perbuatan mengumpat,berbobong dan menfitnah.
Keempat:
Mempelajari tentang hukum- hakam puasa seperti rukun – rukunnya, syarat wajibnya
,perkara-perkara yang makruh dilakukan dan perkara- perkara yang sunat
dilaksanakan ketika berpuasa supaya ibadah puasa yang kita lakukan benar –benar
menepati syariat dan diterima Allah.
Kelima: Persiapan
hati dan jiwa. Persiapan ini yang akan mengatasi persiapan yang lain kerana
hati dan jiwa yang bersih akan melahirkan jiwa yang benar-benar insaf dan mampu
membuat perubahan. Muhasabah diri, kenalpasti kelemahan diri sendiri, timbulkan
perasaan untuk memperbaiki diri sepanjang Ramadan. Justru, Ramadan ini akan
menghasilkan buah keimanan yang akan disambut dalam bulan Syawal nanti.
Kesimpulannya,
permulaan yang baik dari jiwa yang baik. Kita mesti sentiasa dan merebut peluang
ini dengan semaksima mungkin. Jangan sia-siakan peluang ini dan jangan pula
membiarkannya berlalu tanpa dimanfaatkan, kelak ia akan membawa kerugian kepada
kita.
Ulasan
Catat Ulasan