BAKTI PEMBINA Gombak bantu lebih 50 orang gelandangan


KUALA LUMPUR, 23 Dis – Projek BAKTI Persatuan Belia Islam Nasional (BAKTI PEMBINA) Cawangan Gombak telah berjaya menganjurkan Program Prihatin Gelandangan (PPG) bertempat di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada Ahad lalu.

Program ini berlangsung dengan jayanya melibatkan seramai 90 sukarelawan dari pelbagai IPT sekitar Gombak termasuklah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), International Islamic College (IIC) dan lain-lain.

Program ini yang bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir sekitar jam 3 petang telah berjaya membantu lebih 50 orang gelandangan. Antara aktiviti yang telah dijalankan oleh sukarelawan ialah memberi sumbangan berbentuk makanan dan pakaian, mempelajari pengalaman hidup, dan menyantuni golongan yang kurang berkemampuan.

Menurut Pengarah Program Prihatin Gelandangan ini, En Ahmad Muizzudin Ahmad Firoz, objektif penganjuran program ini adalah untuk mengajak belia berbakti kepada masyarakat sekeliling.

Selain itu, belia juga boleh meneladani kisah hidup masyarakat yang berbeza latar belakang.

Tambah beliau, penganjuran program ini akan disusuli dengan beberapa siri program yang lain pada masa akan datang seperti “Street Dakwah”, misi kemanusiaan banjir dan pelbagai lagi yang bermanfaat untuk belia dan masyarakat di luar sana.

“Program ini membuka mata saya untuk lebih bersyukur dengan apa yang saya miliki dan mengubah perspektif saya terhadap golongan gelandangan,” ujar Nasri Mohd Ghafar, 19, pelajar International Islamic College (IIC).

“Saya belajar untuk tidak memandang rendah golongan ini. Mereka semua menjadi gelandangan bukan atas kerelaan sendiri, tetapi kerana terpaksa,” jawab Fara Izmyra Muzafar Shah, 22 setelah ditanya oleh wartawan.


Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?