DAP minta kaji semula kontrak persekutuan
28 Dis – Ahli Parlimen DAP (Bukit Bendera) Zairil Khir Johari meminta diadakan satu kajian semula terhadap kontrak persekuuan negara.
Dalam tulisannya di Roketkini bertarikh 25 Disember 2014, Zairil berkata kajian itu amat diperlukan, khususnya dalam persekitaran pasca-2008, di mana sudah jelas bahawa pemusatan berlebihan dalam hal ehwal pentadbiran adalah tidak selari dengan kerencaman negara kita serta terbukti gagal untuk memenuhi hasrat dan impian rakyat Malaysia.
“Sistem sedia ada tidak berfungsi apabila sesebuah kerajaan negeri tidak berupaya untuk menentukan arah perjalanan bas dalam kota sendiri, membuat pinjaman wang untuk membiayai pembangunan infrastruktur, serta tidak diberi kuasa untuk menguruskan tandas awam sendiri,” kata beliau.
Zairil memberi contoh nasib negeri-negeri yang kaya dengan sumber asli seperti Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu yang telah dinafikan pembangunan yang setimpal dengan wilayah-wilayah lain dan kini mempunyai kadar kemiskinan yang tertinggi di negara, walaupun menjadi antara penyumbang terbesar hasil negara melalui pengeluaran minyak dan gas.
Tambahnya, kerajaan Persekutuan tampaknya terlalu taksub dengan konsep pemusatan sehingga pembangunan ekonomi dan infrastruktur menjadi tertumpu secara ekslusif di Lembah Klang. Hasilnya, banyak bandar-bandar lain yang sebelum ini dinamik seperti Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru telah ketinggalan daripada kemajuan.
“Dalam konteks ini, adalah menakjubkan bahawa Pulau Pinang dapat mencapai kejayaan selama ini meskipun dihalang oleh struktur yang sangat terpusat ini.
“Cuba bayangkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang beroperasi dengan belanjawan yang lebih kecil daripada perbelanjaan operasi tahunan Universiti Sains Malaysia,” tulis beliau lagi.
Katanya adalah malang sistem perundangan, pentadbiran dan fiskal di negara kita tidak mirip langsung dengan negara persekutuan yang lain.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan