IS di Malaysia – “Ini bukan propaganda, tapi fakta” kata pegawai kanan Bukit Aman


KUALA LUMPUR, 4 Dis – “Ini bukan propaganda, tapi fakta.” Demikian kenyataan yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorisme, Cawangan Khas Bukit Aman, Polis Diraja Malaysia (PDRM) SAC Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay mematahkan dakwaan yang mengatakan kumpulan Negara Islam (IS) adalah satu cerita kosong dan propaganda yang dicipta oleh media barat.

“Isu ini mula panas pada pertengahan tahun ini, dan sebenarnya pihak PDRM telah memantau sejak berlakunya krisis di Syria pada tahun 2011.

“Di negara kita setakat ini sebanyak 48 tangkapan sudah dibuat, 22 daripadanya sudah didakwa, 6 kes masih dalam siasatan manakala 20 lagi tidak berjaya didakwa disebabkan kekurangan bukti.”

Beliau mendedahkan perkara itu semasa menyampaikan pembentangan bertajuk “Gerakan Ekstrimisme: Realiti Semasa” pada Seminar Pemurnian Akidah 2014 anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini tengahari tadi.

Ujarnya, IS memiliki kekuatan ketenteraan seramai 32 ribu orang termasuk lebih 17 ribu foreign fighters yang berjuang menentang kerajaan Syiah Bashar Asad di Syria.

“Mereka berasal dari pelbagai negara termasuk Malaysia. Bayangkan jika mereka kembali ke negara asal dan menjalankan perekrutan ahli baru. Bayangkan juga jika mereka mempraktikkan kefahaman jihad yang salah itu di negara kita. Cukup merisaukan,” kata beliau.

SAC Dato’ Ayob Khan bin Mydin Pitchay, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorisme, Cawangan Khas Bukit Aman, PDRM.
SALAH FAHAM KONSEP JIHAD PUNCA SERTAI IS

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Ahmad El-Muhammady dalam pembentangannya yang bertajuk “Penyelewengan Makna Jihad” pula berkata, salah faham terhadap konsep jihad antara punca segelintir umat Islam menyertai gerakan ekstrem itu.

“Kumpulan ekstrem seperti IS memahami jihad menegakkan Islam dalam bentuk yang jauh daripada konsep sebenar yang dipegang oleh Ali Sunnah Wal Jamaah. Mereka menganggap operasi bunuh diri (pengebom berani mati) sebagai jalan mati syahid, sedangkan tidak semudah itu kita mendefinisikan mati syahid.

“Mereka juga bermudah dalam membunuh tawanan, mengkafirkan kerajaan dan sebagainya.

“Ada juga yang gadis yang direkrut menyertai IS dengan pujukan hujah ‘jihad nikah’. Sekalipun ada ulama gerakan Al-Qaeda menafikan perkara ini, tetapi hakikatnya ia berlaku,” kata beliau sambil merujuk contoh kes gadis-gadis mahasiswi universiti tempatan yang berjaya dihasut supaya berhijrah ke Syria untuk menyertai jihad menubuhkan negara Islam.

Kumpulan ini menggunakan hujah syarak tetapi difahami menggunakan akal dan logik semata-mata.

“Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat berkenaan jihad tetapi perlu difahami dalam konteksnya yang betul. Mereka juga mengambil sebahagian ayat dan meninggalkan ayat lain,” katanya.

Sebagai jalan penyelesaian, umat Islam perlu dididik mengenai konsep jihad yang betul berpandukan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Ahmad El-Muhammady, Pensyarah Universiti islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Seminar separuh hari ini bertujuan menjelaskan implikasi aliran ekstrem kepada akidah dan bahayanya kepada masyarakat dan kesejahteraan negara.

Ia juga bertujuan memberikan kefahaman konsep jihad yang sebenar menurut Islam dan menjelaskan kesalahan pemahaman golongan ekstremis mengenai jihad.

Selain itu, ia menjelaskan bahaya ideologi Syiah dan bagaimana gerakannya berkembang di dunia Islam selain menjelaskan kepentingan Akta Pencegahan dalam menjaga dan memelihara keselamatan negara.

Turut menjadi tetamu jemputan ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik IKIM Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz yang membentangkan tajuk “Akta Pencegahan Tunjang Keselamatan Negara” dan juga Panel Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Dr Muhammad Arifin Ismail yang membentangkan tajuk “Sejarah dan Perkembangan Gerakan Syiah”.


Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?