Pengajaran di sepanjang permusafiran hendaklah disusuli dengan tindakan dan amalan


ISTANBUL, 18 Disember – Seramai 15 orang peserta telah menjadi sebahagian daripada permusafiran ke Istanbul, Turki anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Uk-Eire yang bertemakan `Menyusuri Tamadun Turki’.

Program ini merupakan kerjasama di antara Wanita ISMA UK-Eire dengan Ibrah Al-Fateh yang merupakan sebuah agensi di bawah ISMA Mesir. Turki telah dipilih sebagai tempat permusafiran musim sejuk pada kali ini kerana Turki merupakan sebuah negara yang kaya dengan keindahan alam serta seni bina Islam. Bahkan, Turki banyak menyimpan khazanah Tamadun Turki Uthmaniyah dan ia juga merupakan tempat di mana Sultan Muhammad Al-Fateh dan tentera pimpinannya memahat sejarah pembukaan kota Konstantinopel, yang kini dikenali sebagai Istanbul.

Antara tempat yang dikunjungi sepanjang permusafiran enam hari, lima malam ini adalah Panorama 1453, Miniaturk, Eyup Soltan, Aya Sofia, Topkapi Palace, Blue Mosque, Gulhane Park, Suleymaniye Camii, Masjid Al-Fateh, Yeni Camii, Bosphorus, dan Spice Bazaar.

Selain itu, slot perkongsian juga diadakan setiap kali mengunjungi tempat-tempat menarik tersebut supaya pengajaran daripada sejarah kebangkitan dan kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah dapat digarap oleh para peserta. Dalam penerangan Ustaz Shihab Rashidee, sebagai wakil agensi Ibrah Al-Fateh, ketika mengunjungi Muzium Sains dan Teknologi, beliau berkata “suatu masa dahulu kita pernah berada di hadapan dan mencipta teknologi-teknologi yang hebat, namun malangnya umat Islam sekarang hanya menjadi pengikut barat dan tidak lagi terkehadapan dalam banyak perkara.”
Menurut Ain Sazlyna Amiruddin, salah seorang peserta permusafiran ini, beliau mengatakan penceritaan sejarah Turki Uthmaniah membuatkan beliau rasa bersemangat untuk menjadikan sejarah sebagai satu pedoman dan tujuan hidup. Menurutnya lagi, wanita-wanita yang ditarbiah seperti wanita Harem memberi motivasi kepadanya untuk terus memberikan komitmen dalam perjalanan dakwah dan tarbiah.

Sebelum kembali ke bumi Eropah, para peserta rombongan diingatkan tentang kepentingan setiap pengajaran dan pengalaman yang disusuli dengan tindakan dan amalan. Para peserta juga diseru untuk sentiasa mengambil peluang untuk menghayati keindahan alam ciptaan Allah dan mengeratkan perhubungan persaudaraan melalui permusafiran. Permusafiran itu pula akan menjadi lebih bermakna apabila dihayati bersama-sama dengan ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan kekuasaan Allah dalam penciptaan alam ini.

Afifah Mohd Sukor,
Ketua Wanita ISMA Uk-Eire

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?