Presiden ISMA sanggah sarjana luar
BANGI, 15 Dis – Presiden ISMA Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman menyanggah ahli akademik asing yang mengkritik pendirian kerajaan menghalang liberalisme dan pluralisme daripada terus tersebar di negara ini.
Tegasnya, liberalisme dan pluralisme berbahaya kepada Islam dan umatnya.
“Kita tidak mahu pengalaman barat Kristian yang telah pincang dibawa ke dunia Islam. Liberalisme dan pluralisme telah merosakkan agama Kristian, bahkan ia telah menjadikan manusia menolak agama dan menjadi atheis,” katanya dalam satu kenyataan kepada ISMAweb.
Beliau mengulas kenyataan beberapa ahli akademik asing yang sengaja diangkat oleh media liberal bagi mengutuk pendirian kerajaan terhadap ancaman liberalisme dan pluralisme.
Jelas Ustaz Abdullah, fahaman pluralisme akan membawa kepada sokongan terhadap zionisme dan mengiktiraf negara Israel.
Satu masa dahulu, apabila orang Yahudi menyelinap masuk ke dalam agama Kristian, ajaran Kristian berjaya diubah.
“Akhirnya permusuhan lama antara dua agama itu ditamatkan dan menyebabkan Israel diiktiraf setelah seorang pope berbangsa Yahudi menduduki Vatican pada tahun 1965.
Untuk rekod, pada 26 November lalu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin berkata kedua-dua ideologi itu adalah ancaman terkini kepada Islam dan umatnya.
Kenyataan itu disokong Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang berkata penghinaan terhadap Islam berpunca daripada pandangan yang melihat Islam dari kaca mata liberal dan plural.
Pada 2006, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan fahaman liberalisme sebagai sesat kerana ia beranggapan semua agama adalah sama.
Sebelum ini Prof Ebrahim Moosa dalam satu program syarahan anjuran bersama Penang Institute dan Islamic Renaissance Front (IRF) di Pulau Pinang berkata, jika anda mahu lari dari liberalisme, anda perlu koyak semua Perlembagaan Malaysia itu dan mula membina semula asas masyarakat ini semula.
Profesor James Piscatori dari Britain dalam satu forum anjuran IRF semalam pula berkata, pendirian kerajaan menyekat liberalisme dan pluralisme akan mengundang bahaya kepada Islam.
Profesor Yahya M Michot dalam forum yang sama berkata, sultan dan raja-raja Islam dahulu tidak dibenarkan mengganggu atau menentukan cara umat Islam berfikir dan beribadat.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan