Surat rayuan sebenar 25 pesara kerajaan dan penerima pencen (bersama jawapan balas 26 Tan Sri)
Bagi Menyokong Usaha-usaha Untuk Mempertahankan Islam Daripada Diserang Dan Dihina Oleh Golongan Pemecahbelah, Liberal, Ekstremis Dan Anti-Nasional
KAMI, rakyat Malaysia yang prihatin, merasa bimbang dan amat kecewa dengan penentangan dan serangan berterusan terhadap kedudukan Islam dan institusi-institusi pentadbiran dan keadilan Islam di negara ini. Fitnah dan pembohongan yang mensasarkan semua institusi Islam dan keadilan Islam di negara ini merupakan salah satu daripada agenda terancang pihak-pihak pelampau dan ekstremis, bertujuan untuk menghilangkan keyakinan terhadap peranan, kepentingan dan kedudukan Islam dalam kerangka demokrasi berparlimen.
Ini juga mencerminkan satu sifat kebencian yang meluap-luap terhadap kemampuan Islam mengurus tadbir sistem keadilan di negara ini, baik di peringkat Pusat mahupun Negeri, khususnya apabila mereka mendapati sistem Islam lebih memberi keadilan, berbanding perundangan sivil mahupun jenayah.
Kami merujuk secara khusus kepada situasi semasa di mana setiap keputusan dan tindakan institusi-institusi agama Islam selalu dipertikaikan, dimomok, dihina, diperli dan diputarbelitkan. Fatwa-fatwa yang menjadi rujukan umat Islam yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan selalu dicerca dan diremehkan, dan dilayan sebagai saman lalulintas sahaja dengan alasan-alasan dangkal kononnya ia tidak menepati proses demokratik dan konsultatif ‘Syura’.
Di samping itu, semakin banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berhaluan kiri dan “gerakan-gerakan sivil” yang ekstremis, liberal dan tidak berdaftar dengan sewenang-wenangnya dan semakin berani melemparkan pelbagai tuduhan liar dan tidak masuk akal (contohnya rasis, pelampau, bigot, ekstremis, anti-nasional dan anti-perpaduan) terhadap kumpulan-kumpulan umat Islam dan organisasi-organisasi dan NGO-NGO Islam yang cuba mempertahankan Islam dan institusi-institusi Islam dan Melayu daripada terus diasak dan diserang bertubi-tubi setiap hari.
Tindakan mereka yang anti-Islam, anti-institusi Beraja dan anti-Melayu itu sebenarnya menyukarkan usaha Kerajaan untuk mewujudkan suasana aman damai, harmoni, kesepakatan dan kesejahteraan kepada semua rakyat Malaysia.
Kumpulan-kumpulan ekstremis ini juga sedang berusaha menghancurkan keamanan dan keselamatan negara dengan menuntut supaya Akta Hasutan dimansuhkan (setelah mereka berjaya memaksa Kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Ordinan Darurat sebelum ini) melalui kempen-kempen, forum-forum, dialog-dialog yang mendapat “restu” dan “dana” daripada agen-agen dan institusi-institusi asing yang mempunyai muslihat tertentu terhadap negara ini.
Apa yang membimbangkan kami juga ialah usaha-usaha ini bertujuan meracuni pemikiran rakyat Malaysia dan umat Islam kononnya atas alasan hak asasi, kebebasan bersuara dan menguruskan perbezaan di negara tercinta ini.
Perkembangan ini pada hakikatnya sedang mencabar Perlembagaan Malaysia dan meruntuhkan prinsip-prinsip demokrasi, kedaulatan undang-undang, menggugat keamanan, menimbulkan keresahan antara agama, membangkitkan api perkauman, menggugat kestabilan negara dan menyemarakkan api kebencian sesama rakyat Malaysia.
Kami sebagai umat Islam yang berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Islam menyokong sepenuhnya kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes transgender baru-baru ini.
Kenyataan beliau yang menyifatkan tindakan beberapa lelaki transgender yang memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keesahan peruntukan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 sebagai satu “gelombang tentangan bentuk baru terhadap Islam” dan merupakan satu cubaan untuk “memesongkan akidah umat Islam” di Malaysia memang tepat sekali.
Demikian juga kami amat bersetuju dengan beliau ketika beliau menyatakan bahawa permohonan Sisters in Islam baru-baru ini berkenaan fatwa mengenai fahaman liberalisme dan pluralisme merupakan suatu “tindakan mengheret institusi Islam untuk dibicarakan di Mahkamah Sivil.”
Tindakan-tindakan dan kenyataan-kenyataan yang mencabar prinsip-prinsip dan undang-undang Islam daripada segelintir rakyat Malaysia yang terlibat dalam gerakan-gerakan sivil Liberal ini termasuk dari parti-parti politik pembangkang yang cauvinis, ekstremis dan rasis ini adalah suatu yang amat dikesali.
Apa yang mereka sedang lakukan hanyalah mengapi-apikan keadaan (dan ini bukan kali pertama) yang hanya berjaya menunjukkan tekanan dan paksaan mereka ke atas Perdana Menteri sedang giat dilaksanakan sepanjang masa supaya Perdana Menteri akhirnya akan tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka. Mereka hanya menggunakan (memperalatkan) istilah kesederhanaan (moderation) untuk menutupi agenda jahat mereka yang sebenarnya, iaitu untuk menghuru-harakan keadaan dan mencetus krisis Perlembagaan yang sukar dibaikpulih dalam masa yang dekat atau panjang.
Isu-isu yang kami bangkitkan ini sememangnya sukar untuk ditangani memandangkan pengaruh mereka yang sangat kuat di dalam kerajaan sendiri dan masih terdapat ramai tokoh dan individu-individu yang turut menjayakan agenda berbahaya ini dari dalam. Selain bantuan sokongan dan dana yang banyak dari luar, mereka juga disokong oleh parti-parti politik pembangkang, tokoh-tokoh tertentu yang sengaja dijulang dan dipopularkan media massa mereka yang setiap hari mencanangkan tipudaya, putarbelit dan fitnah untuk meracuni dan mempengaruhi pemikiran rakyat dan umat Islam.
Justeru kami yakin dan berharap Perdana Menteri menggerakkan segenap agensi dan kementerian kerajaan supaya bersegera menangani ancaman-ancaman yang serius terhadap kedaulatan negara ini dan memobilisasikan segenap sumber dan kuasa yang ada bagi menyekat dan mematahkan percubaan ke arah “regime change” ini dengan mengawasi dan menghalang percubaan mereka untuk membawa masuk individu-individu yang kononnya “pakar” dalam pelbagai bidang termasuk undang-undang Islam dan undang-undang Perlembagaan untuk menjayakan agenda mereka.
Kami merasakan adalah amat penting bagi semua pihak, termasuk Kementerian, agensi-agensi Kerajaan, NGO-NGO dan institusi-institusi Islam, dan setiap gerakan sivil yang tulen supaya berganding bahu dan berkerjasama untuk merangka satu Pelan Induk Kebangsaan bagi memantau dan mengambil tindakan keras terhadap mana-mana rakyat Malaysia, organisasi-organisasi yang jelas agenda liberal ekstrem mereka dan mana-mana institusi yang cuba memporak-perandakan hubungan dan keharmonian antara kaum, melunturkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan dan kestabilan negara serta kedaulatan undang-undang dan juga Perlembagaan.
Terdapat pelbagai isu penting yang memerlukan perhatian dan kepimpinan Perdana Menteri serta sokongan semua ahli Kabinet dan rakyat Malaysia.
Antaranya:
i). Sistem perundangan plural yang telah sekian lama menimbulkan pelbagai konflik dan pertindihan antara undang-undang sivil dan syariah. Pada hemat kami, terdapat keperluan segera untuk segera kembali kepada Undang-undang Syariah sebagai undang-undang yang dominan di Malaysia. Keperluan ini bukanlah sesuatu yang asing memandangkan Islam adalah Agama bagi Persekutuan maka sudah sewajarnya segala peruntukan undang-undang (khususnya yang digunakan di mahkamah-mahkamah sivil dan jenayah) perlu diselaraskan supaya ia menepati Syara’ dan Shariah-compliant.
Pelaksanaan Syari’ah Islam dalam sistem perundangan negara sebenarnya akan membawa keadilan sejati kepada rakyat di negara ini. Ini selaras dengan tujuan Islam diturunkan adalah sebagai Rahmat Kepada sekalian Alam, maka sudah tentulah segala aspek pelaksanaan Syari’ah akan membawa kerahmatan kepada semua.
Melalui pelaksanaan undang-undang yang mematuhi Syari’ah, banyak masalah sosial, jenayah dan akhlak dapat dihadapi dengan pendekatan yang betul. Tidak akan berlaku diskriminasi ataupun ketidakadilan bilamana semua pihak dengan penuh sedar dan insaf menerima pelaksanaan undang-undang melalui pendekatan Islam yang adil ini.
ii). Kurangnya kesedaran di kalangan orang ramai, termasuk pimpinan tertinggi negara terhadap satu gerakan dan perancangan halus untuk “menghakis” dan “membuang” Islam daripada pelaksanaan undang-undang dan sistem keadilan negara. Gerakan ini, sekiranya tidak dibendung dengan segera, akan melucutkan Perlembagaan daripada dasar-dasar utama yang mengikat Kerajaan Pusat dan Negeri, khususnya yang melibatkan peruntukan-peruntukan mengenai Islam. Ia seterusnya akan membawa kepada krisis Perlembagaan, di mana elemen-elemen dan peruntukan-peruntukan teras yang selama ini melindungi Islam di dalam Perlembagaan kini akan terdedah kepada pemansuhan.
iii). Perlunya memastikan rakyat meyakini supaya Islam digunakan sebagai sumber undang-undang dan dasar awam di negara ini. Rakyat juga perlu diberi kefahaman yang menyeluruh tentang sumber-sumber perundangan Islam yang tetap (tidak boleh diubah) dan fleksibel (boleh berubah). Ini bertujuan supaya rakyat dapat melihat secara nyata bagaimana Islam merupakan satu agama sekaligus perundangan yang dapat menyesuaikan dirnya dengan setiap masa, tempat, kedaan dan suasana, tanpa mengorbankan prinsip-prinsip dasarnya dan pada waktu yang sama mampu menawarkan keadilan sejagat kepada semua rakyat, di dalam mana-mana aspek politik, sosial, ekonomi, kebudayaan dan seumpamanya
iv). Perlunya mempertingkatkan kesedaran di kalangan umat Islam tentang usaha segelintir rakyat Malaysia untuk mempengaruhi minda umat Islam melalui pentafsiran-pentafsiran baru terhadap Al Quran. Mereka membawa masuk individu-individu yang sangat diragui pola pemikirannya dan sangat songsang pemahamannya terhadap Islam. Mereka juga cuba memasukkan idea-idea sesat supaya wanita Islam memberontak terhadap institusi keluarga dan “memperjuangkan” hak-hak wanita Islam yang kononnya telah di”selewengkan” oleh institusi-institusi agama dan Mahkamah Syari’ah. Mereka juga cuba mempengaruhi pembuat dasar di negara ini supaya memasukkan agenda jahat mereka di dalam penggubalan sebarang dasar melibatkan wanita (khususnya wanita Islam).
Kedua-dua fenomena di atas juga menjadi kebimbangan justeru kami menyeru Perdana Menteri dan kepimpinan negara tidak leka dan lalai terhadap pergerakan anti-Islam dan anti-keluarga ini.
v). Perlunya Perdana Menteri menekankan kepimpinannya di samping melantik pemimpin-pemimpin yang ikhlas terhadap Islam, mampu mempertahankannya daripada serangan puak-puak liberal dan ekstremis tajaan luar yang ingin menimbulkan kesangsian terhadap pentadbiran undang-undang Islam di negara ini. Ini bertujuan supaya keadilan Islam lebih terserlah dalam penghayatan dan pengamalannya. Kami secara khusus menggesa agar pentadbiran Perdana Menteri menjelaskan bahawa perbahasan yang mencampuradukkan Islam dengan agenda-agenda lain dan jentera putarbelit dan fitnah terhadap undang-undang Islam di Malaysia adalah satu malapetaka dan penghinaan besar terhadap Islam dan pihak berkuasa agama di negara ini.
Isu-isu ini tidak rumit sebenarnya tetapi apa yang ingin ditekankan ialah, kami sebagai Muslim berpegang bahawa undang-undang Islam melebihi dan mengatasi daripada undang-undang sivil. Pelaksanaannya sentiasi menepati standard tertinggi dalam aspek keadilan kerana ia berdasarkan wahyu Allah. Apa yang merumitkannya hanyalah mereka yang cuba menimbulkan keraguan terhadap undang-undang Islam, cuba mencampuradukkan Al Quran dengan benda-benda asing yang menyesatkan, cuba mengelirukan umat Islam dengan pentafsiran-pentafsiran baru Al Quran yang bertentangan dengan Syara’ dan cuba mempengaruhi kepimpinan negara pula supaya akur kepada kehendak mereka!
Lantaran itu, mana-mana pihak yang cuba memberi idea-idea sesat dan songsang seperti di atas, yang mempergunakan nama Islam perlu sentiasa diawasi dan dipantau secara serius dan (sekiranya wajar), perlu diambil tindakan menerusi proses undang-undang supaya pentadbiran undang-undang Islam dan institusi Islam negara dapat memikul amanah dan melaksanakan tanggungjawab mereka untuk memastikan keadilan Islam bukan sahaja untuk umat Islam bahkan juga rahmat daripada keadilan Islam itu adalah untuk dinikmati oleh semua pihak.
Islam yang diturunkan kepada Rasulullah SAW pada abad ke-7 di Tanah Arab adalah Islam yang tetap terpelihara daripada sebarang percubaan untuk menjadikannya Islam Liberal, Islam Moderat, Islam ala-Amerika, Islam Human Rights, Islam Revolusional, Islam Progresif, Islam Hilali atau apa sahaja ideologi sesat dan kufur. Islam yang umat Islam dan bangsa Melayu fahami dan imani adalah Islam yang sama sifat dan intipatinya, sesuai untuk semua zaman, tempat dan ruang masa. Ia akan sentiasa mampu meredah dan melumpuhkan cabaran-cabaran dan rintangan-rintangan yang ditimbulkan oleh puak-puak liberal, ekstremis, cauvinis, evangelis, modernis, moderat, apologetis dan para pelampau yang cuba merosakkan Islam dari dalam mahupun luar.
Sesungguhnya kami yakin dan percaya bahawa Islam akan terus kekal relevan dan universal pada zaman sekarang sebagaimana ia tetap kekal pada zaman terdahulu mahupun pada masa akan datang. Ia tidak pernah berkembang dalam keadaan berlawanan dengan fitrah insan atau peredaran masa. Perkara yang dituntut adalah supaya manusia taat, patuh, akur dan berusaha untuk mempastikan agama ini berdaulat sebagaimana yang dituntut oleh Allah SWT.
Cintai Islam, Pertahankan Tanahair.
Yang Ikhlas,
- Che Rahim Che Din, bekas cleaner di Kementerian Dalam Negeri.
- Mat Jamil Ghafar, bekas despatch di Kementerian Luar Negeri.
- Wan Arif Wan Seman, bekas kerani akaun di Kementerian Kewangan.
- Jalil Mastan, bekas penjaga stor di Kementerian Kesihatan.
- Haniff Mohammad Wassim, bekas peon di Kementerian Kewangan.
- Mustajab Khan, bekas driver di Perkhidmatan Veterinar.
- Puan Azizah Abdul Majid, bekas wartawan di Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia.
- Isa Bin Selamat, bekas supplier tiub getah di Institut Jantung Negara.
- Syed Dawood Khan Shah Rukh Khan, bekas bailif Mahkamah Rayuan.
- Abdul Karim Mohiyuddin, bekas tukang kebun kepada Duta.
- Anwar Faizul, bekas guru karate kepada anak-anak Duta.
- Wali Mohd Kasim, bekas pak guard di rumah Duta.
- Makmum Mohd Shariff, bekas bodyguard di rumah Duta.
- Hamidah Walid, bekas pengasuh anak-anak Mem.
- Abdul Lateef Wong, bekas moneychanger dekat Bank Negara.
- Matloob Mukmin, bekas komando Angkatan Tentera Malaysia.
- Nur Aridawati Biarin, bekas bibik kepada Duta.
- Zanita Hassan, bekas petition writer dekat pejabat Suhakam.
- Zakwan Ghamidi, bekas guru Iqra kepada anak Duta.
- Baharom Selamat, bekas pekerja Ko-Op, Universiti Sains Malaysia.
- Hanif Fadhlullah, bekas caddy kepada Duta.
- Zainal Ariffin Mohd, bekas pekerja kilang perabot.
- Akmaldin Bukhari, bekas ahli Koperasi.
- Hamimah Mat Su’id, bekas pekerja kedai fotostat di Universiti Malaya.
- Wan Hindun Wan Mamat, bekas kerani conveyancing di firma guaman dekat Bar Council
Surat Jawapan oleh 26 Tan Sri
Anda semua adalah para perwira dan negarawan sebenar, meskipun pekerjaan anda jarang diperhatikan oleh masyarakat umum. Kebimbangan-kebimbangan dan rasa prihatin yang anda semua nyatakan di dalam surat di atas adalah percerminan kepada apa yang telah sekian lama tersurat di hati kami.
Dalam membicarakan tentang Islam dan cabaran yang sedang dihadapi dewasa ini, kita semua adalah setaraf dan sepasukan. Apa yang anda semua suarakan tidak mampu di gambarkan dengan lebih jelas dan terang oleh para penganalisa, tokoh akademik, para cendekiawan mahupun para ulamak hari ini.
Tahniah kepada anda semua, wahai saudara kami!
Dan khusus kepada para penentang Islam, pembawa musibah dan virus liberal, pelampau, ekstremis dan modernis…
Kami tahu siapa kamu dan siapa dalang di belakang kamu.
Kami tahu siapa yang memberi dana kepada agenda dan aktiviti-aktiviti kamu.
Kami tahu tipu muslihat dan perancangan kamu.
Kami tahu betapa kamu telah memperdayakan begitu ramai tokoh untuk bersama kamu.
Kami tahu rencana apa kamu melaga-lagakan sesama Melayu dan umat Islam.
Kami akan mendedahkan tempat-tempat perjumpaan rahsia dan persembunyian kamu.
Kami akan dedahkan identiti kamu seorang demi seorang.
Kami akan londehkan satu persatu kemunafikan kamu.
Kami akan pastikan umat Islam dan bangsa Melayu mengenali dan mengawasi kamu.
Kami adalah mimpi ngeri kamu, siang dan malam!
Yang Menjalankan Amanah,
- Tan Sri yang kenal sangat golongan Liberal ekstremis.
- Tan Sri yang menghormati dinamisme pemuda dan pemudi Islam.
- Tan Sri yang tidak akan mengkhianati bangsa sendiri.
- Tan Sri yang tidak sanggup melihat kepentingan Islam dipermainkan.
- Tan Sri sangat jengkel dengan politik hawa nafsu.
- Tan Sri tidak lupa jasa pemimpin yang amanah.
- Tan Sri tidak suka membuang masa dengan perkara tidak berfaedah.
- Tan Sri selalu mengawasi pergerakan Evangelis Kristian.
- Tan Sri kenal rapat Al Marhum Ustaz Fadhil Noor.
- Tan Sri cemas dengan politik agenda peribadi.
- Tan Sri tidak akan bersekongkol dengan agenda Yahudi Zionis.
- Tan Sri menyokong usahawan Muslim dan Bumiputera.
- Tan Sri sedih dengan nasib bangsa yang diperjudikan.
- Tan Sri yang mengutamakan kerja-kerja kebajikan.
- Tan Sri sangat menghormati Majlis Fatwa Kebangsaan.
- Tan Sri biasa terlibat dengan program-program PERKIM.
- Tan Sri sedih melihat NGO-NGO Islam telah diperalatkan.
- Tan Sri peminat tegar Ustaz Kazim Elias.
- Tan Sri selalu berbicara dalam Bahasa Melayu.
- Tan Sri tidak terkejut dengan perjuangan Cauvinis Sosialis parti DAP .
- Tan Sri tidak suka melepak di coffeehouse Pan Pacific.
- Tan Sri suka melihat penyatuan perjuangan PAS dan UMNO.
- Tan Sri sangat memuliakan wanita Islam.
- Tan Sri sangat berbulu dengan Bar Council.
- Tan Sri really hates IRF.
- Tan Sri meluat sungguh dengan SIS.
- Tan Sri pernah mengamuk pasal Lawyers For Liberty.
- Tan Sri penyokong agenda perjuangan ISMA.
- Tan Sri baru cancel langganan MalaysiaKini.
- Tan Sri merasa kasihan kepada penyokong kuat Negara-Ku.
- Tan Sri tidak pernah percaya kepada penerima dana NED.
- Tan Sri berharap PAS bercerai dengan DAP.
- Tan Sri selalu menonton TV Al Hijrah.
- Tan Sri selalu menziarahi ulamak dan tokoh-tokoh berwibawa.
- Tan Sri selalu mendirikan Solat Tahajjud.
- Tan Sri akan sentiasa bersama Umat Islam.
_____________________
Nota kaki:
Penyusun meminta maaf kerana terlalu ramai Tan Sri yang rela hati untuk memasukkan nama sebenar mereka dan bilangan mereka sendiri melebihi kuota 26 nama yang telah diputuskan. Namun untuk tidak menghampakan mereka, penyusun masukkan sekali tambahan 10 orang Tan Sri lagi yang bersemangat. Bagaimanapun, nama sebenar mereka terpaksa dirahsiakan demi keselamatan dan untuk menjaga hati dan perasaan pihak-pihak yang terdekat dengan mereka (termasuk rahsia-rahsia peribadi mereka).
P/s …
Ini adalah karya fiksyen semata-mata. Ia bersifat parodi dan sebagai satu simbol mengekspresikan hak untuk berkarya secara kreatif. Ini juga sebahagian daripada hak asasi saya sebagai seorang penulis.
Tidak ada mana-mana Tan Sri yang telah diapa-apakan atau diperdayakan. Karya ini juga tidak ada kena-mengena dengan mana-mana manusia sama ada yang masih bernyawa atau sudah tamat riwayatnya. Kalau ada pun, secara kebetulan sahaja dan telah ditetapkan sejak azali lagi.
Untuk makluman, tidak ada seekor anjing pun yang disentuh dalam menyiapkan surat rayuan dan jawapan balasnya ini.
Mohd Luttfi Abdul Khalid
Seorang Peguam dan aktivis ISMA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan