Tragedi pasangan mati lemas di Kemaman, ISMA ucap takziah
CHUKAI, 27 Disember – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dengan penuh dukacita menyatakan ucapan takziah khususnya kepada ahli Kelab NAZIM Kemaman iaitu anak-anak kepada Allahyarham Suhaimi Awang, 37 dan Allahyarhamah Norhayati Sulong, 37 yang terjatuh lemas daripada bot terbalik di Kampung Geliga Che Akob pada Rabu lepas.
Menurut Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA (BKM) Kemaman, Puan Norlydawati binti Dzulkifli, “Adik Nur Syafiqah dan adik Nurul Izzah Insyirah selalu menyertai aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan oleh Kelab NAZIM dan mereka pernah menyertai program cuti persekolahan tahunan Huffaz Cilik yang pernah Kelab NAZIM anjurkan.”
“Kami amat berdukacita atas dugaan yang telah menimpa mereka dan kami doakan agar adik-adik ini diberikan kekuatan untuk terus menjalani kehidupan setelah pemergian ibu bapa mereka menemui Allah s.w.t.”, harap Puan Norlydawati lagi.
Mayat kedua ibu dan bapa kepada enam orang anak-anak telah berjaya ditemui hari ini dan ISMA menyatakan rasa simpati kepada anak- anak kepada pasangan berkenaan yang berusia di antara 12 tahun ke 6 bulan.
Peristiwa ini juga turut mendapat perhatian Jawatankuasa Cawangan ISMA Kemaman dan ISMA Kemaman akan turut menyampaikan sumbangan kepada anak-anak pasangan ini dalam rangka persediaan musim persekolahan yang bakal tiba.
Allahyarham Suhaimi Awang merupakan pekerja di sebuah syarikat di Pengkalan Bekalan Kemaman (KSB) dan Allahyarhamah Norhayati Sulong merupakan guru di Sekolah Menengah Geliga, Kemaman.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan