X-Treme cabar motivasi remaja


TAMPIN, 10 Dis – Kelab Remaja ISMA (KRIM) cawangan Melaka julung kalinya mengadakan Program Ekspedisi Remaja Muslim (X-Treme), 2014 di Gunung Stong Kelantan selama tiga hari.

Menarik X- Treme kali ini adalah dengan menaiki keretapi dari Stesen Tampin ke Stesen Dabong, Kelantan yang mengambil masa kira-kira 9 jam.

Hari pertama, 5 Disember remaja yang berusia dari 12 hingga 17 tahun ini dibawa untuk melakukan aktiviti caving di Gua Keris, Gua Gelap dan Gua Pagar yang telah berusia lebih 150 juta tahun.

Sepanjang penerokaan gua, peserta diberi penerangan tentang pembentukan  gua batu kapur yang menghasilkan pelbagai bentuk stalactite dan stalagmite yang unik.

Malam pertama, peserta berpeluang berjalan di dalam hutan mengenali flora dan fauna pada waktu malam melalui aktiviti night walk.

Kemuncak ekspedisi ini adalah pendakian Gunung Stong yang terletak di Daerah Dabong Kelantan yang mempunyai air terjun tertingi di Asia Tenggara.

Setelah hampir  tiga jam menapak mereka diberi peluang mandi di Air Terjun Telaga Tujuh.

Selain dari aktiviti mencabar fizikal dan mental, peserta turut mempelajari kaedah solat ketika bermusafir dan semasa pendakian. Disamping itu juga, mereka diberi penugasan menghafal al-Quran.

Rata-rata peserta berpuas hati dengan aktiviti yang mereka sertai.

“Sangat best program X-Treme ini, lain daripada yang lain,” kata Mus’ab bin Omar, 13.

Menurut Yasser Ariff bin Ahmad Sidi, pengarah program X-Treme, 2014, program ini dilakukan untuk mencabar motivasi diri remaja supaya menjadi seorang pemimpin yang hebat.

“Orang biasa pergi hiking atas sebab nak cabar diri atau minat, tapi kalau orang luar biasa, motivasinya adalah untuk dapatkan tubuh yang kuat kerana ingin jadi pemimpin yang hebat!,” katanya.

“Seorang remaja hebat yang luar biasa mesti mantap aspek jasmani, emosi, rohani, intelektual dan iman,” tambahnya semasa ucapan Majlis Penutup di Stesen Keretapi Tampin.

Bagi Pengarah KRIM Melaka, Zailani Zabar, mereka cuba membawa pendekatan baru untuk motivasi kepada remaja.

“KRIM cuba membawa alternatif baru untuk motivasi kepada para pelajar sekolah bukan setakat dengar ceramah di dalam dewan tapi lebih kepada mencuba aktiviti-aktiviti yang luar biasa bagi memupuk jati diri remaja,” ujarnya.

Tambahnya lagi dengan slogan ‘motivasi, iltizam dan jati diri’, pendekatan motivasi syumul yang diterapkan oleh KRIM diharap dapat menggamit sejuta pelajar yang cemerlang jati dirinya sebagai seorang muslim pada masa akan datang.


Nafisah Hamidon
Wartawan ISMAweb

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?