“Kelantan lagi loghat daripada kami”


BANGI, 8 Jan – Rata-rata mangsa banjir yang ditemui di Kg Gajah dan Kuala Kangsar, Perak mengucapkan rasa syukur kepada Allah di atas bencana yang menimpa.

Hal ini kerana bagi mereka, meskipun banjir pada tahun ini agak luar biasa dahsyat berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun nasib mereka lebih baik daripada mangsa-mangsa banjir di Kelantan yang hilang tempat tinggal.

“Depa di Kelantan lagi loghat (teruk) daripada kami,” kata Enson binti Meon, 87 tahun kepada ISMAweb.

Rumahnya yang terletak di Kg Sayong Tebing, Kuala Kangsar ini telah dinaiki air hampir dua meter.

“Mujurlah rumah opah tinggi. Tingkat atas naik paras lutut. Ruang dapur yang ada di bawah habis tenggelam.

“Masa banjir berlaku, opah ada di rumah anak di Kuala Lumpur. Alhamdulillah opah tak banyak masalah. Ada anak lain balik ke rumah tolong kemas-kemas rumah dan angkat barang,” katanya yang tinggal berseorangan ketika ditemui.

Hisyam Affendy, 33 tahun, berkata, rumahnya telah dinaiki air sehingga paras syiling. Rumahnya itu baru sahaja siap dibina dan didiami sejak 3 bulan lalu.

“Sekarang ini, saya macam masuk rumah baru. Rumah ada, tapi barang-barang, perabot semua sudah rosak,” katanya ketika sedang sibuk mengalirkan air banjir yang masih bertakung di laman rumahnya.

Beliau yang bekerja sebagai kakitangan awam berkata amat terkejut apabila air Sungai Perak naik dengan begitu laju.

Semasa tinjauan ISMAweb di kampung yang sama, kami bertemu dengan Chef Selebriti 1 Malaysia, Chef Yang Jamil, 53 tahun yang sedang sibuk membersihkan rumah kakak kandungnya.

“Banyak hikmah yang Allah nak berikan kepada kita. Kita nampak banyak bantuan datang daripada pelbagai pihak dari seluruh negara.

“Ini satu perkara yang positif bagi rakyat Malaysia. Rasa prihatin dan bantu membantu menjadi amalan apabila ada pihak yang ditimpa kesusahan,” katanya yang sudah dua hari berada di rumah kakaknya bersama keluarga.

Beliau juga mengucapkan syukur kerana banjir yang berlaku tidak seteruk banjir yang berlaku di Kelantan.

Air masih belum surut di Kg Gajah

Tinjauan yang dilakukan di Kg Gajah pada dua hari lepas menunjukkan terdapat sebilangan rumah masih digenangi air banjir limpahan Sungai Perak.

Mangsa-mangsa banjir terpaksa menetap di pusat-pusat pemindahan untuk minggu kedua sementara menunggu air kering.

“Sudah sembilan hari saya di MRSM Pasir Salak. Anak dah 2 orang demam sepanjang tinggal di sini. Nak balik, rumah masih ada air,” luah Puan Sarimah Mad Saad, 35 tahun ketika ditemui.

Beliau yang tinggal di Kg Batu Hitam, Kg Gajah berkata banyak bantuan asas telah diterima seperti lapik tidur dan pakaian, tetapi banyak perabot di rumah telah rosak.

Selain itu, terdapat jalan-jalan di dalam kampung yang masih ditenggelami air seperti jalan menuju Kg Selat Pulau menyebabkan penduduk terpaksa meredah air dengan berjalan kaki.

Setakat 12.30 tengahari tadi, sebanyak 4,253 orang daripada 1,148 buah keluarga yang masih berada di pusat-pusat pemindahan di negeri Perak.


Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian