Penganjur konsert perlu diingatkan patuhi garis panduan JAKIM


PUTRAJAYA, 15 Jan — Pihak yang bertanggungjawab memberikan kelulusan untuk mana-mana konsert perlu sentiasa mengingatkan penganjur agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata banyak pihak seolah-olah melupakan garis panduan itu yang dibuat untuk menghalang perkara tidak diingini seperti yang berlaku dalam konsert K-Pop baru-baru ini.

“Kebenaran untuk mengadakan konsert bukan di bawah kuasa Jakim, tetapi untuk tujuan proaktif Jakim telah mengeluarkan garis panduan supaya tidak berlaku hal-hal yang tidak diingini.

“Garis panduan itu untuk persembahan muzik termasuk rancangan televisyen tetapi ada hal-hal yang berlaku secara spontan sebab itu kita panggil pihak penganjur untuk menjelaskan perkara itu dan mengelakkan masalah itu berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menerima sumbangan bantuan banjir daripada Asian FINANCE Bank berjumlah RM107,000 bagi pemulihan masjid-masjid yang terjejas banjir di sini hari ini.

Ditanya mengenai kritikan pelbagai pihak yang mendakwa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bertindak keterlaluan terhadap insiden konsert K-pop itu, Jamil Khir berkata ia masih dalam peringkat siasatan dan tiada tindakan yang diambil setakat ini.

“Buat masa sekarang Jawi ingin membuat siasatan terlebih dahulu, jadi adakah ia dianggap keterlaluan.

“Kita tidak mahu nanti ada orang mengatakan pihak berwajib berkaitan soal akhlak dan agama masyarakat Islam mengabaikan kes itu begitu sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata adalah lebih baik peminat terbabit dibawa untuk menjalani sesi nasihat dan kaunseling seperti yang dicadang oleh Jawi.

Katanya, tidak perlu setiap kesalahan itu ditangani dengan hukuman apabila ia boleh diselesaikan melalui nasihat.          

Beliau berkata isu berpelukan itu juga di luar kawalan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) kerana ia berlaku secara spontan.

Menjawab soalan lain, katanya, adalah tidak perlu untuk menempatkan pegawai Puspal di setiap konsert yang diadakan kerana ia akan menelan kos dan tenaga kerja yang tinggi.

Sabtu lepas, video yang memaparkan perbuatan anggota kumpulan K-pop B1A4 memeluk dan mencium beberapa gadis tempatan ketika membuat persembahan pentas di ibu negara menjadi viral di media sosial.

Semalam, Pengarah Jawi Paimuzi Yahya dilaporkan sebagai berkata, Jawi akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan gadis Melayu terbabit jika tidak tampil secara sukarela dalam tempoh ditetapkan bagi membantu siasatan.

 Sebelum ini, Jawi juga telah memanggil penganjur konsert tersebut. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) berhubung perbuatan tidak sopan di tempat awam. — BERNAMA

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?